Jumaat, 17 Julai 2009

Wajib Baca! : Harga Aurat Wanita



Satu perkara yang cukup kontroversi untuk dibicarakan ialah perihal menutup aurat. Perbahasannya cukup luas untuk dihuraikan. Namun di sini ana cuba bincangkannya secara semi santai-ilmiah.

Persoalan aurat ini telah diputuskan secara jelas oleh Allah Ta’ala dalam Al-Qur’an menerusi ayat hijab iaitu ayat 30 dan 31 Surah al-Nur yang bermaksud:

30.”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.


31. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…..” sehingga akhir terjemahan ayat ini.


Dalam mentafsirkan ayat ini, Ahmad Mustafa Al-Maraghiy dalam kitabnya Tafsir Al-Maraghiy jld.9 pula menjelaskan bahawa :

“Begitu juga setiap wanita hendaklah tidak menampakkan sedikitpun perhiasannya terhadap lelaki yang bukan muhrim, kecuali perhiasan yang biasa nampak dan tidak mungkin dapat disembunyikan, seperti cincin, celak mata dan lipstik. Dalam hal ini mereka tidak akan mendapat kesalahan. Kecualilah jika mereka menampakkan perhiasan yang patut disembunyikan seperti gelang tangan, gelang kaki, kalung mahkota, selempang dan anting-anting kerana semua perhiasan ini terletak pada bahagian tubuh (pergelangan tangan, betis, leher, kepala, dada dan telinga) yang haram dipandang kecuali oleh orang yang dibenarkan untuk melihatnya. Setelah melarang daripada menampakkan perhiasan, Allah Ta’ala selanjutnya memerintahkan agar menyembunyikan sebahagian tempat perhiasan pada anggota tubuh itu di mana mereka hendaklah melabuhkan tudung kepala ke dada bahagian atas hingga di bawah leher, supaya dengan yang demikian mereka dapat menutupi rambut, leher dan dadanya, sehingga tidak sedikitpun dapat dilihat oleh orang lain. Seringkali wanita menutupkan sebahagian tudungnya ke kepala dan sebahagian lagi dilabuhkan ke punggung sehingga nampak pangkal leher serta sebahagian dadanya seperti yang telah menjadi adat jahiliyyah. Dari itu mereka dilarang berbuat demikian”.

Cuba kita perhatikan masyarakat Islam sekeliling kita sekarang. Adakah penghayatan nilai menutup aurat dikalangan muslimah kita bertepatan dengan kehendak firman Allah Ta'ala di atas?

Apabila kita menjejakkan kaki ke pusat-pusat membeli belah, ke tempat-tempat keramaian dan sebagainya, sedikit ebanyak kita boleh mengukur dan menyukat-nyukat jawapan yang tepat bagi soalan ana di atas. Kadang-kadang kita sendiri malu untuk memberikan jawapannya. Namun mata kita belum lagi buta untuk melihat jawapannya yang benar. Betapa sekarang ini trend menutup aurat dikalangan beliawanis muslimah kita sedikit sebanyak semakin popular.

Memang benar, jika dikatakan tidak semua beliawanis dan wanita-wanita Islam kita yang suka mendedahkan aurat. Tetapi adakah jumlah pembuka-pembuka aurat dikalangan masyarakat kita berada pada tahap yang selesa? Ana tidak pastilah dengan jawapan masing-masing, tetapi ana sendiri cukup bimbang melihat fenomena ini.

Malahan kewujudan / kemunculan para promoter-promoter /pejuang-pejuang kempen ‘buka aurat’ turut memberikan sentuhan besar-besaran melalui pelbagai medium, seperti para selebriti t.v, radio, guru-guru sekolah, ibu-ibu dan sebagainya.

Berbalik kepada ayat di atas, kehendak ayat ini adalah jelas, kecuali pada maksud “perhiasan tubuh yang zahir” itu. Allah tidak menerangkan maksudnya, begitu juga tiada hadis qawli (ucapan Nabi ) yang sahiih tentangnya. Tetapi hadis iqrari (perakuan Nabi ) yang sahiih amatlah banyak sekali, iaitu perakuan Nabi terhadap para Sahabat (sahabat wanita) yang semuanya bertudung setelah turun ayat hijab itu, anataranya seperti berikut:

  • Pertamanya, hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah r.a.:

“Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya.”

  • Kedua, hadis sahiih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah bint Shaybah katanya:

“Ketika kami bersama ‘Aishah r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aishah menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw, seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.”


* Lihat tafsiran dua ayat dan dua hadis di atas dalam Muhd Ali al- Sabuni, Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, (percetakan Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.)


Terbukti betapa hebatnya wanita-wanita Islam pada zaman Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dalam menghayati tuntutan menutup aurat ini. Patutlah digambarkan bahawa umat terdahulu itulah as-sabiqunas-sabiquun. Keimanan yang mereka tunjukkan tiada berbelah bahagi. Tanpa sebarang alasan atau sebarang sebab dan faktor menghalang, mereka menggengam perintah menutup aurat ini sekukuh-kukuhnya dengan ikhlas mengharapkan mardhatillah.

Tetapi muslimah sekarang sudah berbeza, jiwa segelintir atau sebahagian muslimah kita turut dilanda krisis jati diri yang rapuh (inferiority conflict). Perintah Allah Ta'ala agar menutup aurat sudah dipandang ringan oleh sebahagiannya. Bahkan dipandang ketinggalan zaman, ortodoks dan eksklusif. Malahan pakaian yang dikenakan kadang-kadang lebih terdedah lagi berbanding penganut agama lain.

Seterusnya, Allah Ta’ala turut menegaskan lagi mengenai kewajipan ini dalam Al-Qur’an Al-Karim menerusi ayat 59 Surah al-Ahzab yang bermaksud:


“Wahai nabi (Muhammad), suruhlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita beriman agar melabuhkan jilbab (pakaian bagi menutup seluruh tubuh) mereka (semasa mereka keluar), cara yang demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani (terhadap dosa kamu di masa lalu).”


Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata, “Allah s.w.t. memerintahkan Nabi-Nya supaya menyuruh isteri, anak dan wanita beriman agar mereka melabuhkan jilbab mereka supaya mereka berbeza dengan wanita jahiliyyah (yang tidak menutup aurat), dan jilbab ialah kain yang dipakai di atas tudung kepala…” (Lihat Muhd ‘Ali al-Sabuni, Mukhtasar Tafsir ibn Kathir, Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.).

Jelas, menurut ayat di atas betapa perempuan-perempuan yang tidak menutup aurat itu disamakan dengan Allah seumpama wanita-wanita Jahiliyyah dan wanita-wanita yang menutup aurat itu pula sebagai wanita yang baik-baik.

Berdasarkan tafsiran ini, makna jilbab yang paling tepat dalam konteks hari ini ialah cadur, seperti yang dipakai oleh wanita Iran itu. Bagaimanapun jilbab yang difahami dan dipakai oleh wanita Islam Melayu sekarang pun telah mencapai maksud ayat tadi, iaitu supaya mereka dikenal sebagai wanita solehah dan tidak berani diganggu oleh lelaki fasiq pada kebiasaannya.


Jilbab itu hendaklah labuh sedikit sehingga menutup bentuk dada mereka dan lebih baik lagi sehingga menutup paras punggung mereka. Ini kerana antara tempat yang paling menarik perhatian dan menjadi bualan lelaki-lelaki fasiq ialah dua tempat sensitif itu. Maka perlulah tutup lebih sedikit berbanding betis dan lengan. Bukan sekadar menggunakan tudung yang tidak mencapai had yang dimaksudkan di atas.


Namun kecenderungan wanita sekarang, trend membuka aurat yang mereka amalkan memang bermatlamatkan 'supaya menjadi bualan/gangguan/siulan/perhatian lelaki-lelaki fasik'. Tidak hairanlah walhasilnya rumahtangga pasangan-pasangan fasik ini (yang tidak menunaikan solat, tidak mengamalkan nilai Islam dalam kehidupan dan sebagainya, termasuklah tidak menutup aurat) terbinalah atas dasar nafsu semata-mata (konon-kononnya cinta) dan kemudian Berjaya menaikkan jumlah kes-kes rumahtangga yang pincang di negara ini.

Perkara inilah yang wajib difahami oleh wanita-wanita yang mulia, terhormat dan mempunyai harga diri. Manakala bagi wanita yang tidak bercita-cita sedemikian, maka mereka akan mencipta pelbagai alas an logika untuk mengharuskan pendedahan aurat atau perhiasan sulit (bukan zahir) mereka.

Mereka ini sebenarnya mempersendakan hukum Allah swt agar wanita menutup kepala dan rambut sepenuhnya dengan secara berterusan memperlihatkan bentuk anggota badan dalam pakaian yang ketat sendat atau mendedahkan bahagian anggota lain seperti kedua belah betis apabila memakai seluar, skirt atau sarung sempit yang berbelah di bawah.


Begitu juga ramai lagi wanita yang enggan memakai tudung sepenuh kepala, atau hanya menutup kepala dengan kelubung kecil, menampakkan bahagian depan dan ekor rambut. Ia juga adalah perbuatan yang boleh dianggap sebagai mempersendakan hukum Allah swt.


Demikian juga dengan amalan memakai tudung kepala pelbagai bentuk dan fesyen. Walaupun mereka berjaya menutup kepala dan rambut, namun masih mendedahkan tengkuk, leher serta sebahagian dada atau memperlihatkan bentuk dada dalam baju yang ketat.


Semua fenomena mendedahkan aurat itu adalah ciri amalan tabarruj, amalan kaum zaman jahiliah. Selain tradisi berpakaian, tradisi bersolek yang termasuk dalam amalan tabarruj kurang diberi perhatian. Seolah-olah larangan dalam hal ini tidak diketahui.


Keadaan wanita yang tidak terbabit dengan tabarruj ialah wanita yang tidak keluar rumah, tidak bercampur-gaul dengan lelaki bukan muhrim dan apabila keluar, tetap memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya dan wajah mereka tanpa bersolek.


Golongan terbabit dengan tabarruj ialah wanita yang keluar rumah dengan berpakaian tidak sopan atau berpakaian ala barat, mendedahkan banyak bahagian aurat atau berpakaian sopan tetapi tidak menutup aurat sepenuhnya atau berpakaian moden, ketat, singkat dan berbelah.


Allah mengetahui akibat baik dan buruk daripada segala tindak-tanduk hamba-Nya, termasuk akibat buruk daripada pendedahan aurat atau perlakuan tabarruj itu. Sehubungan itu, Allah swt mewajibkan wanita menutup aurat mereka. Hikmahnya, kita kembalikan sahaja kepada Allah.


Firman Allah bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isterimu dan anak perempuanmu serta wanita yang beriman, supaya melabuhkan jilbab mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. (Ingatlah) Allah swt adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

(Surah al-Ahzab, ayat 59).

Wallahua'lam.

P.s : Jika anda pergi ke gerai makanan, adakah anda membeli makanan yang bertutup atau yang terdedah?

Jika anda suka membeli makanan yang ber'cover' maka anda adalah seorang yang hati-hati dan bersih. Tetapi jika anda membeli makanan yang terdedah, maka anda akan memakan/menikmati makanan yang sudah 'puas dihinggapi lalat', berkuman, mendatangkan penyakit dan cemar.

Sekarang kita buatlah tabayyun sendiri. Sikap berhati-hati adalah langkah kearah keselamatan.

Jangan sampai, bertudung atas dasar memenuhi tuntutan Melayu Islam Beraja pada falsafah dalam institusi sahaja. Tetapi luar dari fatrah institusi falsafah bertudung di simpan kemas-kemas dalam almari. Bermula pula falsafah berdedah-dedah.

Tiada ulasan: