Selasa, 14 Julai 2009

Mentaati 'Ulul- Amri


Manusia hidup dalam kelompok bermasyarakat yang saling berinteraksi dan saling memerlukan. Setiap manusia juga tidak terlepas daripada memikul taklif sama ada berupa kewajipan terhadap Allah حبل من الله dan taklif berupa kewajipan terhadap sesama manusia حبل من الناس .

Atas taklif inilah manusia dijadikan khalifatullah fil-ardh yang berjanji akan menunaikan amanah memakmurkan bumi. Namun manusia merupakan makhluk yang mudah lupa dengan janji. Ketika inilah Allah Ta'ala mengutus para 'Anbiyya dan Mursalin untuk menyampaikan peringatan.

Ribuan tahun manusia didatangi oleh ramai utusan-utusan Allah, sehinggalah kepada Khatamun-Nubuwwah Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam. Dan kepada bagindalah syari'at Allah merupakan rahmatan lil-'alamin dan menjadi pelengkap kepada semua syari'at rasul-rasul terdahulu.

Tidak semua rasul yang diutus telah ditaati oleh manusia, terdapat ramai manusia yang ingkar dari mentaati mereka. Terdapat golongan manusia yang mengikut jejak langkah Iblis laknatullah dalam kedegilan dan kesombongan mereka dalam ketaatan

Islam adalah agama yang menuntut umatnya supaya menjadi manusia yang taat. Sama ada pada Allah, pada rasul, pada ibu bapa dan termasuklah kewajipan mentaati 'ulul amri (pemerintah).

Islam menjadikan perbuatan mentaati raja (pemerintah) sebagai salah satu dari syari'at. Bukan sekadar alternatif, tetapi sebagai kewajipan. Manusia perlu dipimpin oleh seorang ketua. Sebagaimana hadith riwayat Abu Daud daripada Abu Said Radhiallahu'anhu dan Abu Hurairah Radhiallahu'anhu, sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam :

إذا خرج ثلاثة في سفر فليؤمر أحدكم
"Apabila keluar tiga orang dalam bermusafiran maka henaklah salah seorang ari mereka dilantik menjadi ketua."


Oleh kerana Allah Ta'ala mewajibkan amar ma'ruf dan nahi munkar, perkara ini tidak akan berjaya tanpa kekuatan, kewibawaan dan kepimpinan. Ini kerana Allah Ta'ala memperelokkan manusia yang ramai dengan keelokan pemerintah.

Ini semua merupakan tabiat ugama Islam sebagai sebuah manhaj yang mahu dan wajar memerintah, memimpin dan menentukan hala tuju masyarakat, jangan disangka bahawa ia hanya cukup dengan ceramah, peringatan dan nasihat yang baik semata-mata.

Ini kerana, negara-negara Islam adalah بلدة طيبة ورب غفور yang memerlukan sebuah 'daulah akidah dan daulah pemikiran' yakni dalam erti kata lain sebagai sebuah negara yang berdiri di atas 'akidah' dan 'manhaj'.

Tugasnya bukan sekadar menjaga kesejahteraan masyarakat secara dalaman dan juga luaran, tetapi juga bertanggungjawab mendidik umat dengan prinsip Islam. Mendidik yang dimaksudkan ialah mendidik dalam konteks menterjemahkan disiplin-disiplin Islam ke dalam rupa praktikal yang konsisten. Firman Allah Ta'ala :


" Iaitu mereka (umat Islam ) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar..."


Sebab itulah Islam menjadikan hukum mentaati pemerintah Islam itu suatu kewajipan yang mana mengingkarinya dikira sebagai berdosa dan derhaka. Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

Tiga golongan yang tidak diajak berbicara oleh Allah pada Hari Kiamat dan tidak dilihatnya serta tidak diakuinya, bahkan bagi mereka siksa yang sangat pedih iaitu

Pertama: Seseorang yang mempunyai air melimpah di tengah padang pasir dan tidak mahu memberi minum kepada seorang ibnu sabil yang kehausan.

Kedua: Seseorang menjual jualannya kepada orang lain setelah waktu Asar, kemudian bersumpah dengan nama Allah dan mengatakan bahawa dia pasti akan mengambilnya dengan harga sekian. Lalu dia (pembeli) percaya sahaja, padahal kenyataannya tidaklah demikian.

Ketiga: seseorang membuat janji setia kepada pemimpin kerana tujuan duniawi semata, bila diberi sesuatu dia menepati janji setianya, tetapi jika tidak diberi, maka dia pun ingkar (mengkhianati) pada janji setianya (kerana tidak puas hati)".

(Hadis Riwayat Bukhari, 13/201 dan Muslim, 1/103).

Begitu juga sebagaimana dalil dari hadis tentang wajibnya taat kepada pemimpin selain dalil-dalil yang lalu ialah:

“Barangsiapa taat kepada penguasaku maka dia telah taat kepadaku. Barangsiapa yang bermaksiat kepada penguasaku, maka dia telah bermaksiat kepadaku".

(Muttafaq ‘Alaihi. Dari jalur Abu Hurairah. Lihat: al-Muzakkir wat-Tazkir waz-Zikra. Hlm. 42-43. Ibnu Abu Asim)

Imam Bukhari telah mengkhususkan satu bab tentang hadis ini dalam pembahasan al-Ahkam dari kitab sahihnya, iaitu bab firman Allah yang bermaksuad:

“Taatilah Allah dan Rasulnya serta Ulil Amri antara kamu”.

Begitu juga sebagaimana Ibnu Abi Asim menyatakan, telah menceritakan kepada kami Hadiyyah bin Abdil Wahab, telah menceritakan kepada kami al-Fadl bin Musa, beliau menceritakan kepada kami dari Husain bin Waqid, dari Qais bin Wahab dari Anas bin Malik dia berkata:

"Para pembesar (penguasa) kami dari kalangan sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah melarang kami tentang beberapa hal: (1) Jangan kamu mencela (menghina) pemerintah (penguasa). (2) Jangan berbohong dengannya dan (3) Jangan menentangnya tapi bersabarlah, serta takutlah kamu kepada Allah, maka sesungguhnya perkara-Nya itu dekat."

(As-Sunnah 2/488. (Sanadnya baik, semua perawinya siqah).


KESIMPULAN :

Telah bersabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam :

"Barangsiapa yang melihat pada amirnya (pemimpinnya) suatu yang dibencinya hendaklah dia tetap bersabar atasnya. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu keluar dari (mentaati) pemerintahnya walau sejengkal kemudian ia mati dalam keadaan tersebut, maka matinya itu mati dalam keadaan jahiliyah".

(Hadis Riwayat Muslim. Lihat: Sunan Abi 'Asim. No. 1101)


Huraian Hadis:

Dalam sesebuah negara itu mesti ada pemerintahnya samada yang diberi nama presiden, raja atau lain-lainnya. Merekalah yang menjalankan pentadbiran dan pemerintahan ke atas rakyat jelata seluruhnya. Untuk mencapai ketenteraman sesebuah negara itu, seluruh rakyat mestilah pula memberikan taat setia yang penuh terhadap undang-undang yang telah ditetapkan seperti mengenakan denda terhadap orang yang melakukan kesalahan kerana mencuri, menerima rasuah dan sebagainya, atau pun dikenakan membayar cukai-cukai tanah, cukai perniagaan dan lain-lainnya.

Islam telah mewajibkan ke atas tiap-tiap penganutnya supaya mentaati perintah-perintah dan undang-undang bukan sahaja undang-undang Allah dan Rasul, malah juga undang-undang ketua atau pemerintah-pemerintah lain sebagaimana firmannya dalam surah an-Nisa Ayat 59:

Ertinya:

"Wahai mereka yang beriman, hendaklah kamu taati kepada Allah, kepada Rasulnya dan kepada ketua-ketua yang memerintah kamu".

Dalam hadis di atas Rasulullah mengingatkan tiap-tiap orang Islam mestilah mentaati sebarang perintah yang tidak bertentangan dengan undang-undang Allah. Tegasnya perintah-perintah yang tidak berupa kejahatan dan maksiat. Sebaliknya jika didapati perintah-perintah yang berbentuk maksiat, tidaklah wajib ditaati lagi, malah boleh ditentang dengan seberapa daya upaya yang boleh.

Dalam maksud sebuah hadis lain pula Rasulullah telah memberi amaran iaitu jangan sekali-sekali mentaati mana-mana makhluk untuk melakukan kederhakaan dan maksiat kepada Allah.

Perintah yang wajib ditaati itu meliputi samada disetujui atau tidak, kerana mentaati perintah itu adalah menjadi asas untuk mendapatkan keamanan dan keselamatan hidup.

Di antara perintah-perintah yang tidak disukai, tetapi wajib ditaati itu ialah seperti perintah supaya mengerjakan sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya atau perintah supaya dikenakan hukuman ke atas orang-orang yang bersalah dan lain-lain lagi. Manakala perintah yang tidak wajib ditaati pula ialah seperti perintah supaya memukul orang, merampas harta orang dengan tidak sebenar, disuruh meminum arak dan sebagainya. Perintah-perintah seperti itu tidak wajib ditaati kerana bertentangan dengan hokum-hukum Allah.

Oleh itu tiap-tiap orang Islam mestilah mentaati dan menurut segala perintah yang tidak bertentangan dengan Hukum Allah walau pun tidak dipersetujui oleh hatinya, sebaliknya pula jangan sekali-sekali menurut perintah-perintah yang membawa kepada maksiat dan yang bertentangan dengan Hukum Allah.

Wallahua'lam

Tiada ulasan: