Rabu, 8 Julai 2009

Pemimpin Ugama dan Guru Ugama perlu amanah.


Tepatlah para Rasul itu dipakaikan oleh Allah Ta'ala dengan 4 sifat yang paling dinamik, iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathanah. Keempat-empat sifat ini saling bersinergi dalam memastikan setiap Rasul itu berjaya menyelesaikan misi kerasulan mereka.

Tambahan lagi keempat-empat sifat ini turut dibantu oleh beberapa sifat-sifat mahmudah yang lain. Dan telah menjadikan wakil-wakil Allah ini menjadi anggota elit yang pernah memikul sebesar-besar tanggungjawab dalam sejarah manusia. Ana ingin membincangkan salah satu daripada empat sifat tersebut, iaitu al-Amanah.

Dari sudut bahasa perkataan amanah berasal daripada perkataan Arab amanah (أمانة ) iaitu "percaya", tenteram, aman, terselamat dan harmonis manakala dari segi nilai dan akhlak pula, amanah bermaksud menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan dalam kepercayaan itu.

Dalam erti kata lain, amanah ialah tanggungjawab diterima seseorang dan kepadanya diberikan kepercayaan melaksanakannya sebagai mana dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu dilaksanakan dengan sempurna, ia berasa tenteram, aman terselamat dan harmonis.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada (orang) yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

(Surah al-Nisa', ayat 58)

Dalam konteks perguruan ugama, amanah bagi seseorang guru turut mencakupi setiap tugas dan tanggungjawab dalam 'bidang'. Namun, dalam membincangkan tugas dan tanggungjawab guru agama, ana merasakan kebanyakan kita akan ter'firqa' kepada beberapa pandangan. Dan secara besarnya, sekurang-kurangnya ada dua pendapat yang sering menjadi perbincangan dikalangan warga guru ugama berinstitusi. Iaitu,

  • Pertama : menganggap bahawa tugas dan tanggungjawab para guru ugama berinstitusi hanya berada di dalam lingkungan tugas-tugas yang ditetapkan, sama ada dari segi tempat (sekolah, masjid, kelas-kelas agama), masa dan sasaran (penuntut berdaftar).
  • Kedua : berpendapat bahawa tugas dan tanggungjawab para guru ugama berinstitusi adalah luas, seluas tugas para 'Anbiyya' dan Mursalin sama ada di mana-mana tempat, pada bila-bila masa dan multi-sasaran (seluruh anggota masyarakat yang memerlukan).

Baiklah, sekarang ana timbulkan satu persoalan, adakah guru ugama hanya mempunyai bidang tugas yang terhad kepada bidang-bidang tugas di institusi pendidikan formal sahaja? Seperti tugas mengajar anak-anak murid disekolah, tugas mengimam keluarga di rumah, tugas memimpin acara tahlil di kampung dan berbagai tugas-tugas yang sinonim dengan guru ugama berinstitusi.

Soalan seterusnya, siapakah pula yang bertanggungjawab mendidik masyarakat sekeliling? Tugas siapakah mencelikkan masyarakat dengan al-Qur'an dan penghayatannya sehingga melahirkan generasi al-Qur'an? Tugas imam masjid sahajakah mengetuai pengurusan jenazah anggota masyarakat? Tugas siapakah menjadi pelapis imam, jika imam masjid menghadapai saat-saat dharurat? Tugas siapakah membantu saudara-saudara baru yang mencari-cari pengetahuan agama lebih dalam, jika peluang berkursus sebagai saudara baru kurang mencukupi? Tugas siapakah memastikan masyarakat kampung berada dalam limpahan cahaya aqidah yang bersih dari syirik, khurafat, dosa-dosa besar dan sebagainya? Tugas siapakah membantu kaum ibu yang menghadapi masalah rumahtangga, mencari solusi terbaik yang ada di dalam Islam bagi mengatasi masalah mereka? Tugas siapakah memimpin generasi muda agar mempunyai akhlak islamiyyah yang tulen? Tugas siapakah menyaring atau menapis berbagai serangan-serangan budaya yang berupaya melumpuhkan ketulenan Islam? Tugas siapakah untuk melaksanakan 'amar ma'ruf nahi munkar? Dan ada banyak lagi tugas dan tanggungjawab yang masih sunyi dari mendapat jawapan-jawapan samada secara teorikal ataupun praktikal.

Sekarang, ana kembalikan tajuk perbincangan ini kembali kepada sentuhan asalnya berkenaan 'amanah'. Hanya 'amanah' sahajalah jawapan Tetapi adakah 'amanah' merupakan satu pilihan ramai pada zaman ini? Tambahan lagi di zaman yang menyaksikan 'amanah' sudah bertukar rupa kepada 'bayaran'. Jika ada 'bayaran' akan adalah 'amanah'.

Bagaimana pula dengan profession perguruan ugama yang berinstitusi sekarang? Adakah sifat amanah menjadi pegangan setiap dari kita sebagai warga perguruan ugama berinstitusi? Soalan ana bukan hanya mensasar kepada kita yang berstatus guru ugama / pegawai ugama sahaja. Tetapi keseluruh warga institusi.

Dalam hal ini, kita kena muhasabah diri kita, ana muhasabah diri ana. Terasa, status guru ugama yang ana sandang, seolah-olahnya belum penuh ana laksanakan. Namun ana harapkan, Allah Ta'ala memberi ana peluang agar, ana dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ana dengan sepenuh-penuhnya.. Amin.

Dalam pengertian umumnya, amanah boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Suatu istilah lain yang memberi erti bertentangan dengannya ialah 'khianat'.

Rasulullah menjelaskan mengenai sifat orang munafik bermaksud, "Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya."

- (Riwayat al-Bukhari).

Dalam bahasa Melayu 'khianat' ini sering juga disebut 'pecah amanah'. Sesungguhnya seseorang mempunyai sifat amanah, tidak akan timbul di hatinya untuk melakukan sebarang pengkhianatan atau penipuan terhadap perkara yang diamanahkan kepadanya. Sama ada mengkhianati masa bertugas, melakukan kerja ala-ala asal siap, mengajar terbatas kepada sukatan, terlalu beremosi, tidak penyabar, sengaja menimbulkan konflik dalaman sekolah, suka menghasut dan memecahbelahkan dan sebagainya.

Dalam Islam amanah adalah perkara pertama ditawarkan Allah kepada alam semesta seperti langit, bumi, gunung-ganang dan bukit bukau untuk memikul bebanan yang sangat penting iaitu bekerja mengabdikan diri mengikut peraturan tertentu. Tetapi semua makhluk itu menolak tawaran Allah itu kerana tidak sanggup memikul amanah yang sangat berat.

Umat manusia tidak boleh melepaskan dirinya daripada menunaikan amanah dibebankan kepadanya terutama dalam menjalankan urusan pentadbiran menguruskan masyarakat semestinya dipelihara dan dikawal tanpa dicemari unsur merosakkan.

Sebab itu jugalah Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam mengancam bahawa kerosakan akan berlaku jika manusia dipimpin oleh mereka yang 'tidak amanah'. Jangan hanya bercita-cita menambah komitmen dalam kepimpinan, tetapi amanah terhadap komitmen tersebut tidak dipandang walau sebelah mata pun. Jika inilah senario warga dalam intitusi, berwaspadalah terhadap amaran baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam tentang akan berlakunya kerosakan.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya: “Bagaimana mensia-siakannya?” Rasulullah menjawab: “Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya”

(Riwayat Al-Bukhari).

Cuba kita perhatikan kisah khalifah Umar Abdul Aziz yang mendapat gelaran Khalifatul-'Auliyya, bagaimana baginda memadamkan lampu kepunyaan Kerajaan yang digunakan untuk kerja rasminya apabila puteranya masuk untuk berbincang tentang urusan keluarganya. Apabila puteranya bertanya kenapa Baginda melakukan demikian, Baginda berkata begini:

…lampu yang sedang ayahanda gunakan untuk bekerja sebentar tadi adalah kepunyaan Kerajaan, minyak yang digunakan itu dibeli dengan wang Kerajaan, sedangkan perkara yang hendak kita bincangkan ini adalah urusan keluarga…Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyaknya pun kita beli dengan wang kita sendiri

(Mohd Nakhaie Hj. Ahmad 1996:17).

Kesimpulan

Betapa dunia pendidikan Islam kita, memerlukan para pemimpin dan guru yang benar-benar menanai sifat 'amanah' dalam kehidupan dan perkhidmatan. Kita bukan bertugas di dalam institusi formal sahaja. Tetapi kita perlu tahu bahawa kita menjadi guru dan pemimpin ugama 24 jam sehari dan tidak akan pernah bersara sehingga ajal menjemput kita.

Adalah perlu kita memahami bahawa natijah dari ini semua ialah perlunya kita mengujudkan rasa kehambaan dan rasa berTuhan di dalam diri. Merasa betapa dhaifnya diri dan betapa berkuasanya Allah SWT, betapa dahsyatnya neraka dan betapa indahnya syurga. Setiap saat wujud rasa diawasi. Pertama rasa diawasi Allah SWT kerana Allah SWT itu Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui, dan Allah SWT mengingatkan:

Katakanlah: “Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui”. Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu

(Ali Imran 3:29).

Kedua, rasa diawasi oleh Malaikat Raqib dan Atid yang sentiasa mencatat amal kebaikan dan kejahatan manusia.

Apabila rasa-rasa ini telah subur di dalam diri, datanglah rasa kehambaan kepada Allah SWT sebagaimana berikut :

i- Malu kepada Allah SWT, malu untuk melakukan dosa dan malu mengekalkan sifat-sifat yang jahat;

ii- Rasa diri lemah, lalu tidak sanggup menyombong diri , 'ujub dengan kepandaian, kebolehan, kejayaan, pencapaian, harta, takabur ke atas orang lain dan hasad terhadap orang yang melebihi diri kita. Sombong kepada Allah SWT dan dengan sesama manusia;

iii- Rasa takut, hingga terdorong untuk bersungguh-sungguh beribadah dan bersungguh-sungguh meninggalkan maksiat. Rasa takut ini bukan hanya takut kepada hukuman dan azab Allah SWT, tetapi takut kehilangan kasih sayang Allah SWT, takut cinta tidak terbalas, takut kalau-kalau terputus dari bantuan dan rahmat Allah SWT.

iv- Sentiasa berhati-hati, sentiasa berhalus di dalam setiap perbuatan, tingkahlaku malah di dalam niat di dalam hati.

Untuk menjadikannya darah daging, amanah bukan hanya perlu dipelajari dan diamalkan, tetapi juga mesti dirasai dan dihayati. Ini tidak mungkin terjadi kecuali seseorang itu mempunyai iman paling kurang iman ayan dan nafsu paling kurang nafsu mutmainnah.

Wallahua'lam.




Tiada ulasan: