Isnin, 24 Ogos 2009

Perintah Menjaga Percakapan bukan sahaja pada Bulan Ramadhan : Antara Sifat Keji Akibat Lisan


- Menghina atau mengejek:

Yang dimaksudkan dengan penghinaan ialah memandang rendah atau menjatuhkan martabat seseorang, ataupun mendedahkan keaiban dan kekurangan seseorang dengan tujuan menjadikannya bahan ketawa. Ini boleh berlaku dengan menceritakan perihal orang lain dengan tutur kata, perbuatan, isyarat ataupun dengan cara lain yang boleh membawa maksud dan tujuan yang sama. Tujuannya ialah untuk merendahkan diri orang lain, menjadikannya bahan ketawa, menghina dan memperkecilkan kedudukannya di mata orang ramai.

Hukumnya adalah haram. Larangan menghina atau mengejek ini jelas dinyatakan di dalam Al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.”

(Surah Al-Hujuraat, ayat 11)

Termasuk di antara perbuatan menghina yang diharamkan itu ialah memanggil dengan panggilan atau gelaran yang tidak baik, yang tidak sedap didengar oleh orang yang kena panggil, di mana panggilan itu membawa kepada suatu bentuk penghinaan dan cemuhan. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasiq, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah!) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”


(Surah Al-Hujuraat, ayat 11)

Oleh itu, tidak sepatutnya seorang muslim berbuat jahat kepada saudaranya yang lain dengan memanggil atau menggelar saudaranya itu dengan panggilan yang tidak sedap didengar dan memalukan. Perkara ini tidak syak lagi akan menyakitkan hati saudaranya dan membakar api permusuhan sesama Islam.


- Membocorkan rahsia:

Mendedahkan rahsia orang adalah di antara perkara-perkara yang dilarang, kerana perbuatan itu akan menyakiti hati orang lain dan tidak mengendahkan tentang kepentingan orang itu.
Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang maksudnya :

“Apabila seseorang telah memberitahu sesuatu perkara, lalu dia pergi, maka itu adalah suatu amanat (tidak boleh disebarkan).”

(Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Oleh itu, membocorkan rahsia orang dikira tidak amanah. Ini adalah suatu pengkhianatan, dan mengkhianati orang lain adalah haram hukumnya, jika ianya boleh mendatangkan bahaya atau mudarat kepada orang itu. Kalau pun tidak mendatangkan bahaya atau mudarat, maka itu samalah seperti kita menghinanya.


- Mengumpat:

Mengumpat adalah di antara seburuk-buruk kejahatan. Yang dimaksudkan dengan mengumpat ialah menyebut seseorang dengan sesuatu yang tidak disukainya, sama ada pada badannya, agamanya, dunianya, bentuk kejadiannya, perangainya, hartanya, anaknya, orang tuanya, suami/isterinya, pembantu rumahtangganya, serbannya, pakaiannya, gaya berjalannya, gerakannya dan sebagainya yang bersangkut paut dengan dirinya. Tidak kira sama ada menyebut-nyebut itu dengan percakapan, tulisan ataupun dengan isyarat melalui mata, tangan, kepala atau sebagainya.

Hukum mengumpat itu adalah haram menurut ijma‘ seluruh umat Islam. Dalilnya adalah jelas tersebut di dalam Al-Qur’an, Sunnah dan ijma‘. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengah yang lain. Sukakah seseorang dari kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi amat Mengasihani.”

(Surah Al-Hujuraat, ayat 12)

Allah Subhanahu wa Ta'ala mengumpamakan orang yang mengumpat saudaranya sendiri seperti memakan daging saudaranya yang telah menjadi bangkai. Setiap manusia sudah tentu tidak mahu makan daging manusia. Apatah lagi daging saudaranya sendiri, dan daging itu pula sudah menjadi bangkai. Ini menunjukkan betapa buruk dan kejinya perbuatan mengumpat itu di sisi Allah Ta‘ala.


- Mengadu domba (menyebarkan fitnah hasutan):

Mengadu domba atau di dalam bahasa Arabnya disebut sebagai an-namimah ialah memindahkan ucapan dari seorang ke seorang dengan maksud untuk merosakkannya.
Menurut Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta ‘ala, pada kebiasaannya an-namimah adalah diistilahkan bagi perbuatan orang yang menceritakan percakapan orang lain kepada orang yang diceritakan mengenainya, umpamanya dia berkata: “Si anu mengatakan tentang kamu begitu begini”. Sebenarnya an-namimah itu tidak terhad kepada yang demikian itu, bahkan ianya lebih umum, iaitu mendedahkan segala perkara yang tidak patut disebarkan, sama ada ianya tidak disukai oleh orang yang diceritakan mengenainya, ataupun tidak disukai oleh orang yang diceritakan kepadanya, ataupun tidak disukai oleh orang ketiga. Tidak kira sama ada cara mendedahkan itu dengan percakapan, tulisan, isyarat, gerak-geri atau seumpamanya, dan sama ada yang didedahkan itu berupa percakapan ataupun perbuatan, dan sama ada ia sememangnya suatu keaiban ataupun bukan.

Jelasnya, hakikat an-namimah (mengadu domba) itu ialah, membocorkan rahsia orang lain dan melanggar kehormatannya dengan mendedahkan rahsia yang dia tidak ingin orang lain mengetahuinya.

Hukumnya adalah haram. Ini adalah berdasarkan dalil-dalil yang bersumber daripada Al-Qur’an, Sunnah dan ijma‘. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecahbelahkan orang ramai).”

(Surah Al-Qalam, ayat 11)

Diriwayatkan daripada Hudzaifah Radhiallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba.”

(Hadits riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya:
“Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam (suatu hari) melintasi dua buah kubur, lalu bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mereka sedang diseksa, kedua-dua mereka tidak diseksa kerana dosa besar (menurut anggapan mereka).” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Bahkan (itu adalah dosa besar), adapun salah seorang daripada mereka ialah orang yang suka ke sana ke mari mengadu domba dan yang seorang lagi ialah orang yang tidak bersuci daripada air kencingnya.”

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Apakah yang perlu dilakukan jika seseorang disampaikan kepadanya cerita yang berbau fitnah hasutan?

Al-Imam Al-Ghazali menegaskan, setiap orang yang diceritakan kepadanya tentang sesuatu dengan maksud menyebar fitnah hasutan, umpamanya diceritakan kepadanya: “Si anu mengatakan kamu begini begini”, maka hendaklah dia mengambil enam tindakan di bawah ini:

1) Tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan kepadanya, kerana pengadu domba itu adalah orang fasiq, dan orang fasiq itu berita yang dibawanya tidak dapat dipercayai.

2) Melarang perbuatannya itu serta memberinya nasihat dan menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah tidak baik.

3) Membencinya kerana Allah, sebab Allah Ta‘ala amat membenci pengadu domba, dan membenci kerana Allah ketika itu adalah suatu kewajipan.

4) Jangan sekali-kali berperasangka buruk tentang apa yang disampaikan itu, kerana Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”

(Surah Al-Hujuraat, ayat 12)

5) Janganlah cerita yang disampaikan itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada ianya benar atau sebaliknya, sebab Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

“Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”

(Surah Al-Hujuraat, ayat 12)

6) Jangan merasa senang atau suka dengan perbuatan pengadu domba itu, dan seterusnya tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang diceritakan kepadanya itu.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki datang kepada Umar Abdul bin Aziz Radhiallahu ‘anhu, dia menceritakan sesuatu tentang seorang lelaki lain, lalu Umar Abdul Aziz berkata:

“Jika kamu mahu diperiksa, kami akan memeriksa ceritamu itu. Jika ternyata kamu berdusta, kamu termasuk salah seorang dari mereka yang disebutkan dalam ayat ini:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.”

(Surah Al-Hujuraat, ayat 6)

Jika kamu benar dalam menyampaikan cerita ini, kamu termasuk salah seorang dari mereka yang disebutkan dalam ayat ini:

Tafsirnya: “Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecahbelahkan orang ramai).”

(Surah Al-Qalam, ayat 11)

Jika kamu mahu minta maaf, kami sedia memaafkan kamu.”


Lelaki itu pun berkata:

“Wahai Amirul Mukminin! Aku tidak akan mengulangi perbuatanku ini selama-lamanya.”

Sabtu, 22 Ogos 2009

BERITA GEMPAR!!!!!


BERITA GMPAR!!!!! HARAP-HARAP TENANGKAN PERASAAN SEBELUM MEMBACA LAPORAN INI, BAGI YANG TELAH TERLANJUR… APA NAK BUAT!!!!

Haram menikahi gadis satu kampung. Majlis Fatwa telah mengeluarkan fatwa baru. Setelah diadakan perbincangan dan diskusi di antara para pemimpin, Majlis Fatwa dan ahli ulama’ memberikan fatwa pada tanggal 3 ogos tahun 2009:

"HARAM HUKUMNYA BAGI SEORANG MUSLIM LAKI-LAKI UNTUK MENIKAH DENGAN GADIS SEKAMPUNG"

Fatwa ini telah menimbulkan perdebatan dan bantahan yang sangat sengit antara yang pro dan kontra. Bahkan banyak pihak yang menyatakan bahawa Majlis Fatwa telah mengambil keputusan yang tidak munasabah dan terburu-buru. Wartawan telah meminta pegawai kanan Majlis Fatwa untuk memberi ulasan yang mendalam sebab sebab mengeluarkan fatwa sedemikian. Inilah isi wawancara tersebut:

Wartawan: Bagaimana pihak Majlis boleh mengeluarkan fatwa haram untuk menikahi gadis sekampung?

Pegawai Kanan : Bagaimana tidak haram, sedangkan menikahi empat orang wanita sahaja sudah berat, apalagi satu kampung……….!!!

hehehehehe… jangan marah ah… nanti kena jual

Kisah Abu Nawas


Pada suatu hari Abu Nawas pergi ke pasar Baghdad lalu berkata dengan suara yang nyaring. " Dalam hidup saya ada tiga perkara yang selalu saya lakukan. Kalau kalian nak dengar sila datang beramai-ramai."
Maka orang ramai pun berkumpul di keliling Abu Nawas.

" Wahai Abu Nawas otak geliga tapi perangai gila-gila. Beritahu kami apa tiga perkara itu." desak seorang pengawal Khalifah Harun Al Rashid yang kebetulan berada di situ.

" Yang pertama, saya selalu bersaksi dengan perkara yang tidak pernah saya lihat," jawab Abu Nawas." Memang tuan orang gila," kata Pengawal Khalifah.

"Yang kedua, saya selalu melarikan diri dari rahmat Allah swt." "MasyaAllah, Abu Nawas sudah sesat!" jerit orang ramai.

" Yang ketiga, saya selalu makan bangkai!." Jawapan Abu Nawas menimbulkan kemarahan orang ramai. Mereka mendesak Abu Nawas di hadapkan kepada Khalifah Harun Al Rasyid supaya dihukum. Maka pengawal pun mengheret Abu Nawas ke istana lalu dihadapkan kepada Khalifah Harun Al Rashid. klik untuk lanjutan kisah...

" Benarkah apa yang kamu katakan itu, wahai Abu Nawas?" tanya Khalifah."Benar wahai Amirul Mukminin," jawab Abu Nawas dengan tenang. " Kamu dihukum penjara," titah Khalifah Harun Al Rasyid dan orang ramai gembira mendengarnya.

Tetapi esoknya orang ramai terkejut dan merasa hairan bila melihat Abu Nawas ada di pasar dan mengulangi lagi ucapan yang sama.

"Bukankah awak sudah dihukum penjara oleh Amirul Mukminin?" tanya orang ramai.
" Benar…" jawab Abu Nawas sambil tertawa. " Saya ucapkan terima kasih kerana kamu saya mendapat hadiah daripada Khalifah yang bijaksana." Orang ramai merasa hairan lalu meminta Abu Nawas menjelaskannya.

" Amirul Mukminin Harun Al Rashid seorang khalifah yang bijaksana dan setelah baginda mendengar penjelasan saya, maka saya dilepaskan dari penjara dan diberi hadiah oleh baginda." Jawapan itu menyebabkan orang ramai semakin takjub lalu minta penjelasan dari Abu Nawas terhadap tiga perkara yang mengelirukan mereka.

" Yang saya maksudkan bersaksi dengan perkara yang tidak pernah di lihat itu maksudnya begini, saya bersaksi bahawa Allah itu ada walaupun saya tidak pernah melihatnya."

"Melarikan diri dari rahmat Allah maknanya bila hujan turun saya melarikan diri ke tempat teduh. Bukankah hujan itu rahmat Allah?"

"Saya selalu makan bangkai maknanya saya suka makan ikan. Bukankah ikan itu tidak disembelih dan setiap haiwan yang tidak disembelih disebut bangkai?" Orang ramai kagum dengan kebijaksanaan Abu Nawas.

Adab-adab yang perlu diberi perhatian ketika puasa.





a- Menjauhi daripada mengumpat, mengadu (menghasut) dan lainnya daripada perbuatan yang diharamkan oleh Allah. Setiap muslim mesti menjaga lidahnya daripada menyebut perkataan yang haram serta memeliharanya daripada bercakap mengenai hal orang lain. Sabda Nabi sallallahu'alaihiwallam yang bermaksud:

Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta bahkan terus melakukannya maka Allah tidak berhajat kepadanya untuk dia meninggalkan makanannya dan minumannya”.

(H.R. Al-Bukhari).

b- Jangan meninggalkan makan sahur, kerana sahur boleh membantu orang yang berpuasa untuk menyempurnakan ibadat puasanya, agar dia dapat melalui siang harinya dalam keadaan rehat dan dapat menjalankan kerja-kerjanya dengan baik. Rasulullah sallallahu'alaihiwallam telah menggalakkan umatnya bersahur dengan sabdanya yang bermaksud:

Sahur adalah makanan yang diberkati. Jangan kamu tinggalkannya walaupun dengan meminum seteguk air, kerana Allah dan para malaikat-Nya mendoakan (memberi rahmat) kepada orang yang bersahur”.

(H.R.Ahmad).

c- Segera berbuka puasa apabila telah pasti terbenam matahari (maghrib). Sabda Nabi sallallahu'alaihiwallam yang bermaksud:

Manusia sentiasa berada dalam keadaan baik sekiranya mereka segera berbuka puasa”.

(Muttafaq ‘alaih).

d- Seboleh-bolehnya berbuka dengan ruthab (tamar separuh masak) atau tamar kering, kerana berbuka dengannya adalah sunnah. Kata Anas radhiallahu'anhu yang bermaksud:

Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam berbuka puasa sebelum menunaikan solat dengan ruthab, jika tiada ruthab Baginda berbuka dengan tamar, jika tiada tamar dengan beberapa teguk air”.

(H.R. Abu Daud).

e- Memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, memuji dan memuja Allah, bersedekah, membuat kebajikan, melakukan amalan sunat dan lainnya daripada amalan yang soleh.

Kata Abdullah bin ‘Abbas radhiallahu'anhu yang bermaksud:

Rasulullah sallallahu'alaihiwallam adalah seorang yang sangat pemurah dan suka melakukan kebaikan. Kemurahannya semakin bertambah di bulan Ramadhan ketika bertemu dengan Jibrail. Jibrail datang bertemu dengannya setiap malam di bulan Ramadhan untuk mengulang al-Quran. Keadaan Rasulullah sallallahu'alaihiwallam ketika bertemu Jibrail adalah sangat pemurah dalam melakukan kebajikan, lebih cepat daripada angin yang bertiup kencang”.

(H.R. Al-Bukhari dan Muslim).

Ancaman kepada mereka yang tidak puasa.


Dari Abu Umamah Al-Bahiliy, Radhiallahu Anhu berkata:

Aku pernah mendengar Rasulullah sallallhu’alihiwasallam bersabda :
"Ketika aku sedang tidur, datanglah dua orang lelaki lalu memegang dua lenganku membawaku ke satu gunung yang kasar (tidak rata), keduanya berkata : "Naiklah.”
Aku jawab: "Aku tidak mampu.”

Keduanya berkata: "Kami akan memudahkannya untukmu".
Lalu akupun naik hingga ketika aku sampai ke puncak gunung, ketika itulah aku mendengar suara yang keras.

Akupun bertanya : "Suara apakah ini ?”
Mereka menjawab: "Ini adalah teriakan penghuni neraka.”
Kemudian keduanya membawaku, maka ketika aku melihat orang-orang yang digantung dengan kaki diatas, mulut mereka koyak, darah mengalir dari mulut mereka, aku bertanya: "Siapakah mereka?”. Dia menjawab : "mereka adalah orang-orang yang berbuka sebelum halal puasa mereka (sebelum tiba waktu berbuka)."

(HR. An-Nasa'i, Ibnu Hibban dan Al-Hakim dengan sanad sahih).

Jumaat, 21 Ogos 2009

Kelebihan puasa secara ringkas


IBADAH PUASA memiliki kedudukan tersendiri di sisi Allah SWT.Allah SWT memberikan pahala yang berlipat ganda sesuai keikhlasan dan kualiti puasa yang dilakukan seorang hamba. Semakin tinggi keikhlasan dan kualiti puasanya, semakin banyak pula pahala yang diperolehinya.Ini bererti puasa yang dilakukan, bukanlah satu amalan untuk menahan tidak makan dan minum belaka.


Puasa Ramadhan merupakan salah satu dari kewajiban puasa yang ditetapkan syariat yang ditujukan dalam rangka taqarrub kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Hukum puasa sendiri terbagi menjadi dua, yaitu puasa wajib dan puasa sunnat. Adapun puasa wajib terbagi menjadi 3: puasa Ramadhan, puasa kaffarah , dan puasa nazar.


Kelebihan Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan adalah bulan diturunkan di dalamnya Al Qur’an. Allah Ta’ala berfirman:



شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

“Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur`an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang haq dan yang batil).”

(Al-Baqarah: 185)


Pada bulan ini syaitan dibelenggu, pintu neraka ditutup dan pintu surga dibuka.
Rasulullah n bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِقَتْ أَبْوَابُ النِّيْرَانِ وَصُفِدَتِ الشَّيَاطِيْنُ


“Bila datang bulan Ramadhan dibukalah pintu-pintu surga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan dibelenggulah para setan.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)


Pada bulan Ramadhan pula terdapat malam Lailatul Qadar. Sebagaimana firman allah Ta’ala :


إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ.

وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ.

تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ.

سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al Qur’an pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan hingga terbit fajar.”

(Al-Qadar: 1-5)


Ramadhan adalah bulan untuk menghapus dosa. Hal ini terbukti berdasarkan Hadith dari Abu Hurairah Radhiallahu’anhu, bahwa Rasulullahi Sallahu’alaihiwasllam bersabda:


الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ لَمَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَائِرُ

“Sembahyang (fardhu) lima waktu, dari Jum’at (yang satu) menuju Jum’at berikutnya, (dari) Ramadhan hingga Ramadhan (berikutnya) adalah penghapus dosa di antaranya, selama mana ditinggalkan dosa-dosa besar.”

(HR. Muslim)


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharap ridha Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah Radhiallahu'anhu )