Jumaat, 17 Julai 2009

Adil vs Pilih Kasih


Menonton rancangan realiti t.v. bertajuk ‘pilih kasih’ membuatkan ana terpanggil untuk membicarakan tajuk ini sedikit. Ana bukanlah berminat untuk memberi komentar terhadap rancangan tersebut. Tetapi kecenderungan ana ialah pada tajuknya (pilih kasih).

Pilih kasih adalah dua perkataan yang bergabung membawa satu makna iaitu: dalam makna seseorang bersifat ‘bias’ atau berat sebelah pihak. Sifat pilih kasih adalah antara sifat semulajadi manusia dan berlaku tanpa kita sedari. Ia berlaku hampir disetiap dimensi kehidupan kita.

Pilih kasih juga menjangkau ke setiap perkara, sama ada terhadap harta, terhadap orang lain, terhadap ilmu, terhadap jawatan dan sebagainya. Hal ini berlaku berpunca daripada tindakan melakukan ‘pilihan’. Kadang-kadang tindakan membuat pilihan bukan sahaja berlaku atas dasar suka-suka sahaja, tetapi juga berlaku atas sebab ianya suatu ‘kemestian’.

Namun kita perlu memerhatikan cara kita melakukan pemilihan. Biarkan ianya bebas dari sebarang pengaruh keperibadian. Tetapi berdasarkan maslahat yang lebih adil. Inilah kaedah pentadbiran baginda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Sejarah hidup Rasulullah S.A.W. dan juga sejarah hidup para Khulafa' Ar-Rashidin dan juga pejuang-pejuang serta para ulamak Islam telah memperlihatkan sifat-sifat tegas mereka dalam perjuangan untuk meninggikan syiar Islam. Natijah dari sikap tegas itu terbentuklah sebuah masyarakat Islam yang teguh dan kuat.

Sebagai contoh, Rasulullah S.A.W. telah terus berusaha mengembangkan syiar Islam walaupun Baginda dipujuk rayu, diugut dan cuba disogok dengan bermacam-macam kemewahan oleh kaum Quraisy yang mahukan Baginda berhenti daripada menyampaikan risalah Islam itu.

Selain daripada ketegasan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi pujuk rayu kaum Musyrikin, Baginda juga telah memperlihatkan ketegasannya dalam menegakkan keadilan pemerintahannya, tanpa pilih kasih atau tunduk kepada mana-mana tekanan. Baginda menjelaskan bahawa di antara sebab keruntuhan umat yang terdahulu ialah kerana mereka pilih kasih dalam menjalankan hukum. Hukum dijalankan ke atas orang-orang yang lemah dan rakyat biasa sahaja, dan sebaliknya diketepikan hukum itu sekiranya dilakukan oleh keluarga bangsawan, kenamaan atau dari kalangan pembesar.

Ini disebabkan Islam itu merupakan agama yang membawa sistem adil dalam disiplinnya. Adil adalah kaedah yang berpotensi melenyapkan unsur-unsur penzaliman, pilih kasih, menerima rasuah, sogokan dan sebagainya. Firman Allah SWT,

“..dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil diantara kalian.”

(At-Thalaq : 2)

Begitulah sifat Islam, tanpa memandang kepada siapa pun, hukum tetap berjalan mengikut ketapan syarak. Sehinggakan Nabi Allah Adam alaihissalam dan isterinya Hawa pun menerima hukuman.

Begitu juga apabila kita menelusuri sejarah hidup Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang taat beribadah dan taat menyelesaikan amanah kersulan yang dipikul baginda tanpa menghiraukan kedudukan baginda sebagai kekasih Allah. Semakin mendapat tempat sebagai kekasih dan pesuruh Allah, semakin pula besar amanah yang dipikul baginda. Baginda lebih berusaha berbanding kita. Secara lojiknya, bukankah baginda itu menjadi ‘pilihan’ Allah? Sedangkan kita, menunjukkan sikap yang berbeza, semakin orang itu menjadi kesayangan kita, semakin kuranglah beban yang kita berikan padanya.

Realitinya sekarang perbuatan pilih kasih turut mencengkam kita dalam pelbagai lapangan. Baik di dalam rumahtangga, di pejabat mahupun di arena sosial yang lain. Apa pun sebabnya, perbuatan berat sebelah tetap dilarang di dalam Islam. Surah al Maidah, 44:-

”Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku, dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat Ku dengan harga yang sedikit; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang –orang yang kafir.”

Ayat inilah yang seharusnya menjadi pegangan kita, jangan sampai keadilan itu menjadi terpinggir akibat kebutaan mata hati kita. Kita seharusnya tahu menilai sesuatu itu tanpa terpengaruh dengan unsur-unsur ‘suka hati’ semata-mata.

Mana-mana yang kita suka kita akan cenderung kepadanya, mana-mana yang kita kurang berkenan kita pandang ala-ala kadar. Begitu juga dalam konteks pendidikan, sikap pilih kasih para guru, para pensyarah dan pegawai hanya akan mewujudkan kepincangan dalam keadilan.

Sama ada kita pilih kasih berdasarkan jantina, guru perempuan asyik-asyik membela pelajar perempuan. Yang salah itu asyik-asyik pelajar lelaki. Dan lebih malang lagi, bila guru lelaki turut menyebelahi pelajar perempuan sahaja. Yang salah asyik-asyik pelajar lelaki.

Begitu juga pilih kasih berlaku hanya kerana pandangan zahir yang menipu. Bila mana para guru bersikap pilih kasih terhadap pelajar yang pandai mengampu. Siapa yang pandai mengambil hati, maka dialah yang benar, dialah yang pintar dan dialah segala-galanya.

Dalam rumahtangga juga berlaku, apabila berlaku pembahagian kasih sayang yang tidak seimbang dikalangan anak-anak atas berbagai sebab. Begitu juga ketua jabatan yang buta mata hati dari menilai antara bawahannya yang mana kaca yang mana permata.

Semua ini hanya akan menyebabkan timbulnya kezaliman. Bukankah zalim itu adalah sifat yang mendapat kemurkaan Allah. Firman Allah SURAH HUUD AYAT 113 :

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu di sentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan”. (Zalim adalah dimaksudkan dengan tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya)”.

Maka kita selaku warga pendidik sekaligus ahli agamawan yang menjunjung nilai Islam, maka adalah perlu kita menjadi uswatun hasanah di dalam mengutamakan dan menterjemahkan nilai adil dalam segenap lapanga kehidupan. Serta menjauhi kezaliman, pilih kasih dan berat sebelah. Kalau bukan Muslim yang patutu bersikap adil, maka siapa lagi??

Wallahua’lam.


2 ulasan:

bde berkata...

Betul-betul setuju...

Unknown berkata...

Saya setuju ..guru guru di sekokah Anak saya juga ada yg mengamalkan sikap ini.part yg paling best sekali bila anak murid sendiri sedar dgn perilaku guru yang suka menjeling jeling pada murid yg dia tidak berkenan...walhal murid tu baru hanya berumur 12 tahun ..Guru sudah pastilah umurnya dlm lingkungan 30-40 an yang punya anak sebaya dgn ank muridnya sendiri.