Dunia yang kita rasai pada hari ini sudah mengalami kepesatan kemajuan dan pembangunan yang cepat. Setiap bangsa berusaha secara teori dan praktikal ke arah matlamat ini. Usaha yang dilakukan kadang-kadang boleh mengakibatkan permusuhan, kehilangan nyawa dan berbagai cara yang ekstrim. Usaha yang dilakukan berorientasikan material semata-mata. Apa yang pasti semua orang mahu duit. Ada yang mahu banyak dan ada yang bersyukur jika memperolehi sekadar mencukupi. Memiliki duit yang banyak bermakna memiliki kuasa. Inilah trend manusia di era ini.
Akibat daripada trend ini, manusia mula beransur-ansur melupakan agama. Kerja-kerja atau amalan atau perbuatan manusia lebih menuntut bayaran dengan duit berbanding bayaran dengan pahala. Sebab itulah harga sebuah 'keikhlasan' sekarang ini sangatlah mahal.
Kadang-kadang hairan juga, apabila ana ditawarkan melanjutkan pelajaran, terdengarlah ucapan-ucapan tahniah dari rakan-rakan agamawan lain, bila kedengaran kata-kata yang mengungkapkan 'betapa beruntungnya ana yang dapat sambung pelajaran, akan naiklah gaji, bakal naiklah pangkat, bla..bla..bla...'.
Itu baru kes yang kecil yang kebetulan berlaku di dalam lingkungan hidup ana. Berkemungkinan masih banyak lagi kes agamawan 'berusaha' untuk mengejar dua perkara ini dengan berbagai 'alternatif'. Ana bukanlah berhak untuk memberikan sebarang penilaian kepada siapa-siapa. Kadang-kadang perkara zahir, tidak semestinya menggambarkan niat seseorang. Ikhlas atau tidak seseorang bukan boleh dinilai dengan pandangan zahir sahaja. Apa lagi bagi orang yang buta hati macam ana ini.
Namun, sekadar peringatan bersama dan cara ana melakukan muhasabah terhadap diri sendiri, tentang kenapa dunia yang pesat dalam pembangunan dan kemajuan sekarang terasa kurang menerima sentuhan dari kita sebagai ahli agama?
Pernah ana terlibat dengan sessi penyediaan kertas kerja cadangan pembentukan semula kurikulum agama di sekolah-sekolah menengah sekitar 2006-2007. Maka ana terlibatlah dalam mesyuarat perbagai peringkat sehingga akhirnya ana menjadi salah seorang pembentang kertas kerja cadangan. Apa yang ana ingin kongsikan ialah, sedikit pengalaman sepanjang proses ini berjalan.
Pernah ana bertegang urat dengan beberapa ustaz-ustaz dari beberapa sekolah menengah akibat cadangan ana supaya matapelajaran Pengetahuan Ugama Islam itu dijadikan subjek teras dan wajib diambil oleh semua penuntut sama ada yang beragama Islam atau tidak. Apa yang menjadi kepedihan dihati ana, terdapat beberapa orang ustaz yang menentang cadangan ana atas alasan cadangan ana seolah-olah menjadikan subjek agama sebagai 'paksaan' dan menghilangkan kebebasan beragama serta menyentuh sensitiviti kepelbagaian bangsa.
Namun ana tetap berdegil dengan cadangan ana dan mahu supaya ditulis nama ana di dalam kertas kerja bahawa analah orang yang bertanggungjawab dengan cadangn tersebut. Akibat kedegilan ana, ramai jugalah ustaz-ustaz yang 'hilang mood' selepas itu.
Memandangkan ana seorang yang masih lagi mentah dalam bidang ini, ana terasa seperti keseorangan sahaja kerana berkeras dengan pendirian yang bertentangan dengan ramai ustaz-ustaz senior yang lain. Tapi jauh di dalam hati dan di dalam ilmu ana yang cetek, terasa bahawa inilah kehendak agama Islam. Inilah solusi yang perlu difikirkan bersama demi masa depan penghayatan beragama yang lebih kukuh.
Kerana sifat agama Islam itu sendiri sebagai ‘Rahmatan lil’alamiin’ yang mahu memberi kesempatan kepada seluruh manusia untuk mencuba mengenali Islam dan Islam akan membuktikan ianya adalah satu-satunya agama yang sah dan tiada ketimpangan. Namun kemudiannya kedengaran juga suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa ana ini jenis tegas tidak bertempat dan tidak tahu menjaga periuk nasi serta tidak takut di'blacklisted'kan nanti dan berbagai ramalan-ramalan lain lagi.
Pada ketika itu, ana tekadkan dihati bahawa ana tidak akan berganjak dengan pendirian, ana hidup hanya sekali, ana tidak bercita-cita untuk menjadi ustaz yang sibuk menjaga periuk nasi semata-mata atau menjaga nama dari di'blacklisted'kan walaupun dengan menggadaikan agama sendiri. Akhirat tidak akan ana lepaskan semata-mata kerana tidak tertanggung bebanan dunia.
Tiba-tiba timbul dihati ingin melanjutkan pelajaran dan mengumpul kekuatan supaya harapan dan cita-cita untuk melihat rakyat negara ini terutamanya yang beragama Islam supaya terdidik dengan nilai-nilai Islam sebenar dan terbentuk dengan akhlak Qur'ani serta memberi peluang kepada rakyat yang bukan beragama Islam untuk mengenali Islam sebelum memberikan penilaian salah terhadapnya melalui jalan memahami tasawwur Islam yang sebenar dan mewujudkan cuaca social berdasarkan fiqh interaksi antara pelbagai penganut agama di negara ini dengan cara Islam yang adil.
( Abu Daud dan An-Nasa'i)
Semoga Allah memberikan ana kekuatan zahir dan bathin. Memberi bantuan kepada nilai keikhasan yang ana tanai agar apinya sentiasa berkobar. Tidak terpadam dengan hujan material sama ada duit dan juga pangkat dan tidak juga dengan tiupan angin riyak, takabbur, 'ujub dan hasad.
IKHLAS
Sekarang mari kita hayati sedikit kisah di bawah ini tentang bagaimana sia-sianya bersifat dengan sifat riyak :
“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
“Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
“Karung guni?” soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
“Mari kita ke pasar!”
Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,” kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
“Cukup?”
“Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.”
“Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?”
“Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?”
“Ya, ya…” kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.
“Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli,” bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
“Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu,” kata orang yang lain.
“Oh, letih sungguh… apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?”
“Tak buat apa-apa.”
“Eh, kalau begitu letih sahajalah saya,” balas anak murid.
“Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas…”
“Hah? Bagaimana boleh?” tanya anak murid itu kehairanan.
“Dengan memikul batu-batu ini, tok?”
“Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak yang tidak ikhlas. Orang-orang yang memuji amalan riyyak seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu…”
“Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?”
“Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat…”
“Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!” ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.
Wallahua’laam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan