Ahad, 25 Julai 2010

Berlumba Dalam Ketaatan


Seorang yang mengakui dirinya sebagai muslim, hendaklah memberikan bukti-bukti yang jelas bahawa dirinya mempunyai jati diri muslim yang menepati kehendak Allah. Iaitu seorang yang benar-benar mengamalkan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya dalam acuan beragama dengan cara yang hanif (lurus).

Bagi umat Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam, telah jelas kepada kita, apakah antara tuntutan-tuntutan yang dianjur melakukan dan ditegah darinya oleh Islam melalui landasan Syari'at yang cukup jelas. Malahan setiap suruhan yang berbentuk 'fardhu' turut dihiasi oleh ibadat/suruhan-suruhan yang sunat. Seorang muslim yang hanya melakukan ibadat fardhu, dikategorikan sebagai muslim yang 'biasa-biasa saja'. Ertinya, dirinya tidak ada additional value atau extra features.

Ini bererti, muslim yang hanya beramal dengan perintah-perintah fardhu, adalah dari muslim yang basic sahaja. Sebab itulah, umat Islam yang al-lazina 'aamanu wa 'amilu-Solihat, adalah dari golongan yang berlumba-lumba mengerjakan ibadat-ibadat nawafil (mustahab) setelah menyempurnakan ibadat fardhu. Dengan cara ini barulah muslim yang basic tadi naik ke darjat-darjat yang berbeza-beza di sisi Allah. Semakin banyak ibadat-ibadat sunat seseorang maka semakin tinggilah kedudukannya. Inilah konsep 'fastabiqul-khairat' yang dipraktikkan oleh generasi awal Islam. Firman Allah Ta'ala :

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya :
"Dan orang-orang yang berjihad (bersungguh-sungguh) dalam membela agama Kami, maka pasti akan Kami tunjukkan mereka itu akan jalan Kami dan sesungguhnya Allah itu beserta orang-orang yang berbuat kebaikan."
(al-'Ankaabut : 69)

Perkataan 'jaahaduu' di sini walaupun secara harfirah bermaksud 'jihad' atau Qital (perang defensif), namun perkataan jihad secara lebih luas dapat difahami sebagaimana berikut:

وقال ابن أبي حاتم في تفسيره حدثنا أبي، حدثنا أحمد بن أبي الحواري، أخبرنا عباس الهمداني أبو أحمد من أهل عكا في قول الله تعالى: وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ. قال: الذين يعملون بما يعلمون يهديهم الله لما لا يعلمون. قال أحمد بن أبي الحواري: فحدثت به أبا سليمان الداراني، فأعجبه. وقد روى ابن أبي حاتم أيضاً بسنده عن أصبغ قال: سمعت عبد الرحمن بن زيد بن اسلم في قول الله: وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا قيل له. قاتلوا فينا قال: نعم.
وروى بسنده عن الربيع في قوله: وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا. قال: ليس على الأرض عبد أطاع ربه ودعا إليه ونهى عنه إلا وأنه قد جاهد في الله

Berkata Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya berkata, "Ayahku telah menyampaikan kepadaku, Ahmad bin Abu al-Hawari menyampaikan pada kami, Abbas al-Hamdani Abu Ahmad dari penduduk Uka mengabarkan kepada kami tentang firman Allah Ta'ala: "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik." berkata, "Orang-orang yang mengamalkan apa yang mereka ketahui, pasti Allah menunjuki mereka kepada apa yang tidak mereka ketahui." Ahmad bin Abu al-Hawari berkata, "Aku menyampaikannya kepada Abu Sulaiman al-Daarani, dan beliau takjub dengannya."

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan lagi dengan sanad dari Ashbagh, berkata: "Aku mendengar Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam tentang firman Allah, "Dan orang-orang yang berjihad pada jalan Kami," disampaikan kepada beliau, "Mereka berperang pada jalan kami." Beliau menjawab, "Ya, benar."

Beliau meriwayatkan dengan sanad dari al-Rabi' tentang firman Allah, "Dan orang-orang yang berjihad di jalan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami" berkata, "Tidaklah ada di atas bumi seorang hamba yang taat kepada Rabb-Nya, berdakwah (menyeru) kepada-Nya dan melarang dari (bermaksiat) kepada-Nya kecuali dia benar-benar telah berjihad di jalan Allah. "

Begitu juga dengan kata-kata berikut :

وقال أبو سليمان الداراني: ليس الجهاد في الآية قتال الكافر فقط بل هو نصر الدين، والرد على المبطلين، وقمع الظالمين، وأعظمه الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر، ومنه مجاهدة النفوس في طاعة الله.

Menurut Abu sulaiman ad-Darani : "Jihad pada ayat tersebut bukan hanya memerangi orang kafir saja, tetapi maksudnya menolong agama Allah, membantah orang mungkar, melawan orang zalim dan yang aling besar (a'zham) adalah menegakkan amar ma'ruf dan menolak mungkar dan termasuk berjihad melawan nafsu demi ketaatan kepada Allah.

Dapatlah difahami bahawa, hanya orang yang bersungguh-sungguh dalam beribadat itulah yang akan mendapat hidayah (lanahdiyannahum subulanaa) daripada Allah Ta'ala, iaitu berupa jalan yang hanif menuju kepadaNya jua. Dan inilah yang dimaksudkan sebagai ibadat-ibadat yang menjadi mustahab (dicintai) di sisi Allah. firman Allah di dalam sebuah hadis Qudsi, daripada Abu Hurairah Radhiallahu'anhu bahawa Rasulullah allallahu'alaihiwasallam bersabda : Allah Ta'ala berfirman :

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه فإذا أحببته كنت سمعه الذي سمع به و بصره الذي يبصر به ، و يده التي يبطش بها ورجله التي يمشي بها و لئن سألني لأعطينه ، و لئن استعاذني لأعيذنه

-رواه البخاري

"Dan tidaklah seseorang hambaKu itu menekatkan dirinya padaKu dengan perkara (ibadat) yang sunnat sehingga aku mencintainya. Dan apabila aku mencintainya maka Aulah sebagai telinganya yang ia gunakan untuk mendengar, Akulah matanya yang ia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang ia gunakan untuk mengambil, Akulah kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Andaikaa ia meminta sesuatu padaKu, nescaya Aku beri dan andaikata ia memohon perlindungan dariKu maka Aku akan melindungnya."

Riwayat al-Bukhari

Akhirnya, seorang Muslim yang berjaya melampaui had Muslim Basic inilah yang akan menjadi Muslim yang dikasihi Allah, sebab itulah para 'Ulama menggunakan perkataan 'Mustahab' sebagai kalimah yang sinonim dengan kata sunnat. Maka Muslim yang beramal dengan amalan sunnat secara mujahadah jualah yang akan mendapat kasih sayang dan kecintaan Allah.

Marilah kita sama-sama azamkan diri kita, agar dari sehari ke sehari, kita melangkah maju menuju Allah. Mulakan dengan satu langkah ke satu langkah. Jika hari ini kita mulakan dengan solat-solat sunnat, insyaAllah dengan izinNya dan niat yang ikhlas beserta istiqamah, kita tingkatkan pula kepada ibadat Mustahab yang lain seperti puasa sunat, sedekah dan sebagainya. Amin.

Wallahua'lam.

P.s : Secara peribadi saya sangatlah tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang mudah membid'ahkan umat Islam yang bermujahadah dalam ibadat. Sedangkan ibadat-ibadat sunat tersebut memang sahih daripada sunnah Rasulullah Sallallahu'alihiwasallam jua, cuma jumlahnya saja yang diperbanyakkan oleh masing-masing Muslim, itupun masih tertakluk di dalam komitmen La Yukallifullahu nafsan illa wus'aha. Takrif wus'ahaa pula tidaklah mempunyai tahdid tertentu, semuanya secara adil, merujuk kepada daya masing-masing.