Jumaat, 25 Disember 2009

PENDIDIKAN SEKULAR & ASAS-ASASNYA


Perkataan ‘sekular’ pula berasal dari perkataan latin : saeculum membawa dua konotasi iaitu “waktu” dan “lokasi”. Maksud waktu ialah : ‘kini’ atau ‘sekarang’, manakala yang dimaksudkan dengan lokasi ialah : ‘dunia’ atau ‘duniawi’. Maka dapatlah difahami saeculum bererti ‘dunia kini’.

Sebab itulah menurut Kamus Dewan Ed.4 perkataan ‘sekular’ bermaksud ‘berkaitan dengan keduniaan, bersifat duniawi dan tidak berkaitan engan keagamaan’. Menurut Sulaiman Nordin (2008), sekularisme bermaksud :

“Fahaman falsafah yang memisahkan urusan-urusan keduniaan dari urusan-urusan agama. Ia menolak peranan agama dalam segenap urusan kehidupan. Dan memisahkan secara mutlak ilmu pengetahuan dari pengaruh dan tuntutan agama.”

Kemudian, apabila dirujukkan perkataan sekular kepada pendidikan, dapatlah kita fahami, ianya bermaksud :

“Secular education is a term that refers to the system of public education in countries with a secular government or separation between religion and state.”[1]

Ringkasnya pendidikan sekular ialah sebuah sistem pendidikan yang dibentuk berasas dan berdasarkan kepada fahaman sekularisme. Ianya adalah sebuah sistem pendidikan yang menolak peranan agama sama ada dari segi perisiannya, (kurikulum dan ko-kurikulum) dan juga dari segi perjalanan sistem induknya mainstream (pengurusan dan pentadbiran).
Asas-Asas Dalam Pembentukan Kurikulum Pendidikan Sekular

Fahaman sekularisme sendiri menampilkan beberapa pecahan fahaman (isme) berupa ideologi dalam pelbagai aspek kehidupan, sama ada dari aspek politik, ekonomi, kehidupan mahupun pendidikan.
Antara fahaman yang lahir dari falsafah sekular ialah, fahaman ‘kebendaan’ (materialisme), fahaman anti agama (atheisme), fahaman sikap tidak acuh terhadap agama (agnosticisme) bertolak dari fahaman yang memisahkan kehidupan beragama dengan kehidupan keduniaan atas alasan sesuatu yang bersifat ketuhanan dan metafisik itu sebagai khayalan (Ghazali Basri, 2007: 152-153)

Maka dalam aspek pendidikan, fahaman-fahaman dalam sekularisme ini turut mencengkam pembentukan kurikulumnya. Rumusan yang telah dilakukan oleh Ghazali Basri (2007) tentang sejarah pertumbuhan fahaman sekular boleh kita jadikan sebagai jalan pemahaman awal terhadap asas-asas fahaman sekular dalam pendidikan, dan antaranya adalah seperti berikut :

1. Seluruh institusi kemasyarakatan, adat istiadat, seni, sains dan sebagainya (termasuk pendidikan) tumbuh dan berkembang secara terpisah daripada sistem kepercayaan membawa kepada pemisahan antara domain agama dengan ilmu-ilmu bukan agama.

2. Seluruh pemikiran dan falsafahnya berdasarkan kehebatan akal (akal sebagai sumber) yang dianggap sebagai alat penentu kebenaran tanpa memerlukan ajaran agama.

3. Pembangunan fizikal dimaksimalkan seperti bersukan dan permainan. Ianya dibesar-besarkan bagi menghormati tuhan-tuhan mereka (Olympiad gods) yang mana sekarang ini diwarisi dengan Olympic games.

4. Wujud fahaman mementingkan manfaat (Utilitarianism). Sesuatu yang bermanfaat pada manusia secara zahiri sahaja yang diterima dalam fahaman ini.

5. Perubahan kerangka agama mengikut kehendak fahaman rasionalisme dan naturalisme. Dalam realiti agama Kristian, fenomena ini disebut sebagai Westernization of Christianity (pembaratan agama Kristian). Ini mengakibatkan agama di ubahsuai mengikut kehendak akal dan natural manusia.

6. Ilmu Sains atau Ilmu tentang fizikal alam dipisahkan daripada agama. Mengakibatkan wujudnya fahaman tentang kekuasaan ilmu sains emperikal sebagai pengukur terakhir terhadap sesuatu kebenaran. Seorang ahli emperikis menolak semua pernyataan agama atas alasan pengajaran dalam agama tidak dapat dibuktikan melalui ujikaji dan penyelidikan akal.

7. Fahaman materialisme dalam sekularisme menampilkan idea-idea falsafah moden yang membawa ciri-ciri seperti berikut :

· Mempunyai kecenderungan pada penentangan yang tajam (militant revolt) terhadap agama.

· Fahaman humanisme melahirkan beberapa ideologi seperti : Komunisme, Sosialisme, Kapitalisme, Pragmatisme, Positivisme, Fascisme, Nazisme, Zionisme, Kemalisme, Nasionalisme.

· Semua ideologi-ideologi tersebut menampilkan corak penolakan terhadap konsep “akhirat” dan mengutamakan kepada kelazatan an kebahagiaan kebendaan semata-mata.

· Pemikiran yang menolak semua nilai transendental (Kudus/Suci).

· Semua pemikiran / fahaman di atas menekankan kepada subjektiviti dan realitiviti dalam sistem nilainya.

· Melahirkan fahaman dualisme dalam berfikir dan pendekatannya bertindak secara “cebisan” (compartmentalised).

· Disiplin sains menduduki tahap scientism, teknologi pula menjadi teknokrasi manakala politik pula menjadi machiavellisme (matlamat menghalalkan segenap cara).

Maka dapatlah difahami fahaman sekular seperti yang telah dinyatakan di atas, telah menguasai segenap bidang dan aspek. Termasuklah juga dalam sistem pendidikan, pengaruh fahaman sekular ini, tidak terkecuali turut mencengkam dikebanyakan negara-negara Islam.


[1] Wikipedia, the free encyclopedia, 20 September 2009 ,” Secular Education”, http://en.wikipedia.org/wiki/Secular_education Dimuat turun pada : 24 September 2009

Tiada ulasan: