Jumaat, 25 Disember 2009

Deislamisasi Ummat Islam

Dipetik dari Ghazali Basri,

Dinamika Tasawwur Islam

(terdapat modefikasi oleh penulis blog)


Abad ke 21 menampilkan status umat Islam di tahap yang cukup buruk. Fenomena dinista, dihina, dijajah, disembelih, dipaksa menukar agama, negara dirampas, kebebasan dan hak mereka diketepikan, serta sumber negara Islam dikuasai bangsa lain dan sekarang mereka difitnah dengan tuduhan yang menggerunkan seluruh warga dunia menampilkan semangat Islamphobia.


Lebih daripada 50 buah negara Islam, sebelum ini telah menerima pensekularan, dibaratkan (westernize) dan dinyahislamkan (deislamization) dalam segenap aspek dan lapangan. Kemudiannya, setelah terdapat pertentangan daripada pihak Islam (khususnya umat Islam yang menyedari diskriminasi ini), pihak barat memperbaharui bentuk serangan mereka terhadap Islam. Iaitu dengan memancing simpati dunia dan memfitnah Islam dengan memberikannya wajah asing yang tiada kaitan langsung dengan Islam iaitu terrorist. Budaya ‘suka berperang’ yang sebenarnya adalah merupakan sifat barat telah dilontarkan pula dengan cara menuduh dan memfitnahkannya kepada Islam. Kini label-label seperti agresif, ganas, pemusnah, teroris, anarkis, tidak bertamadun, fanatik, fundamentalis dan mundur yang mana selama ini adalah milik peribadi barat telah diputarbelitkan barat kepada Islam. Akhirnya, dunia mula memandang Islam sebagai ‘the sick man’ yang dianggap sebagai liability (beban) kepada alam ini. Keadaan ini diwartakan oleh barat konon-kononnya adalah berpunca daripada ‘ajaran Islam’ yang dibawa oleh Muhammad Sallallahu'alihiwasallam sebagai 'ketua pengganas'. Inilah sikap prejudis yang digembar gemburkan atas sentimen permusuhan barat terhadap Islam.


Apa yang menjadi kehairanan, betapa jahilnya kita yang mempercayai hal ini. Kenyataan ini bertolak daripada beberapa perkara :


1. Dunia tidak sepatutnya lupa jiwa ‘kolonial’ adalah milik siapa? Islamkah atau Baratkah? Jika Islam gemar membuka wilayah bertujuan untuk ‘memperbaiki’ tamadun bangsa yang dibuka, namun barat melakukan colonization untuk kepentingan mereka.


2. Dunia juga tidak sepatutnya buta untuk melihat apakah budaya yang dibawa oleh barat dan apa pula budaya yang dibawa Islam? Jika Islam memelihara status wanita melalui eksklusivismnya terhadap percampuran bukan mahram, penutupan aurat, maka baratlah yang mengeksploitasi wanita melalui media, fesyen, hiburan. Jika Islam mengekalkan semangat demokratik-autokratik (gabungan), baratlah yang menaja demokratik tanpa sempadan yang sangat impossible (hanya menimbulkan budaya provokasi berselindung disebalik demokrasi). Jika Islam adil dengan ‘hak’ individu (tertakluk kepada tuntutan hak sesuatu mengikut keperluannya), maka baratlah yang memperkenalkan adil dengan konotasi ‘penyamarataan’, dan hal ini mencacatkan makna sebenar adil. Persoalannya adakah possible bagi seorang bayi diberi makan dengan makanan yang ‘sama’ dengan seorang dewasa? sebagaimana menurut barat. Sedangkan, seorang bayi mempunyai tuntutannya yang tersendiri berbeza dengan tuntutan dewasa, dan inilah adil dalam Islam. Maka sangat tidak masuk akallah bagi golongan ekstremis jantina (khususnya wanita) yang menuntut keadilan melalui ‘penyamarataan’ hak, sedangkan tuntutan lelaki dan wanita tidak ‘sama’, sampai bila-bila pun tidak sama.


Beberapa Persoalan Dalaman


Beberapa hal yang perlu kita periksa di dalam kerangka dalaman umat Islam sendiri yang dirasakan terlibat dalam perbincangan ini, antaranya :


Bidang Politik


Selepas zaman penjajahan barat (kolonial), negara-negara Islam dipecahkan kepada lebih 50 buah negara, inilah dasar ‘pecah perintah’ yang diolah barat agar umat Islam terdedah dengan konflik, perbalahan dan permusuhan sesama sendiri.


Ketika penjajahan, nasib umat Islam dikawal dan ditentukan oleh barat, namun kemudiannya setelah merdeka mantan-mantan penjajah barat yang terlatih dijadikan penasihat pula. Malahan, pengaruh mereka secara local semakin berkembang melalui sokongan barat. Dan hingga kini, muncul kelompok dan individu berupa promoter barat di dalam negara Islam. Sebagai contohnya Mustafa Kamal Attartuk (anak tempatan Turki yang menjadi anak angkat barat).


Hal ini berjaya dilakukan barat, semasa zaman penjajahan, sistem PENDIDIKAN BARAT diperkenalkan (dipaksakan) ke dalam dunia Islam, akibatnya lahirlah anak-anak tempatan yang berfikiran barat dan meneruskan tradisi pembaratan di tanah air sendiri sehingga kini. Hasil terbesar daripadanya ialah wujudnya dualistik di dalam sistem penidikan negara-negara Islam. Maka tercoraklah pemikiran dikotomis (iaitu fahaman bahawa agama adalah untuk ibadat sahaja manakala itu agama juga dianggap tiada kaitan dengan hal selain ibadat seperti hal pekerjaan, perniagaan, pergaulan, percintaan, dll) dikalangan umat Islam dan seterusnya umat Islam mengalami personaliti ganda (iaitu dua peronaliti : Islam dan Barat dalam diri, ummat menjadi Islam jika ditempat ibadat dan menjadi barat apabila diluar dari tempat ibadat).


Bidang Sosio-Ekonomi


Umumnya umat Islam hidup dalam keadaan yang dhaif disebabkan sebahagian besarnya masih dicengkam buta huruf roman (pendapat peribadi penulis, buta huruf hanyalah merujuk kepada buta kepada huruf-huruf roman yang menjadi lingua franca secara global, andaikan lingua franca dunia ialah bahasa Arab, maka ‘buta huruf’ bukan lagi masalah umat Islam, malah menjadi masalah barat pula). Ini bererti buta huruf di sini ialah literally buta kepada huruf roman sahaja. Namun oleh kerana huruf roman adalah 'huruf-pasaran' maka istilah buta huruf menjadi masalah awal ekonomi ummat Islam di persada global.


Sebaik sahaja umat Islam mula bangkit memperbaiki sistem ekonomi mereka, barat menerusi sistem free-marketnya memperkenalkan konsumsi barangan tanpa had bagi kepentingan ekonomi kuasa-kuasa besar dunia. Hasilnya, umat Islam menjadi dependent consumers. Sumber asli negara Islam dibeli dan dimajukan oleh barat kemudian dijual semula dengan harga yang tinggi kepada negara Islam.


Jika barat mengenalpasti sebarang usaha negara Islam untuk membangun produksi sendiri, berbagai usaha yang dikenakan barat bagi memastikan inisiatif tersebut akhirnya jatuh ke tangan mereka akhirnya, melalui pelbagai akta perdagangan yang diperkenalkan barat secara antarabangsa yang semuanya secara hegemony berpihak kepada gergasi pedagang yang dipegang oleh kuasa besar dunia.


Sumber utama negara-negara Islam, iaitu minyak, menjadi fokus barat. Berbagai usaha dilakukan termasuk menimbulkan suasana havoc dikalangan negara-negara Islam yang menjadi pengeluar, agar usaha untuk mengekspoitasi minyak sebagai sumber mutlak negara Islam itu sendiri jauh dari berjaya.


Bidang Pendidikan dan Budaya


Setelah jatuhnya sistem khilafiyyah, (iaitu kekhalifahan Uthmaniyyah), reputasi umat Islam jatuh merudum dalam demand global semenjak abad ke 19. Buta huruf, taklid buta berleluasa dikalangan umat Islam. Negara-negara Islam yang dirasakan sudah menerima pembaratan tidak akan diusik lagi oleh barat. Namun negara-negara Islam yang berpotensi untuk menjadi penghalang kepada agenda ‘menguasai dunia’ oleh barat ini, diberikan berbagai sekatan. Sehingga keadaan dhaif mencengkam mereka, hal ini direncanakan agar pencapaian pembangunan mereka rendah, pendidikan mereka diabaikan, kesihatan mereka meruncing, perbalahan diwujudkan, demokrasi di bawah kawalan barat diperkenalkan dalam sistem. Akhirnya kita melihat dua kelompok besar umat Islam yang menjadi bahan ‘eksperimen’ barat. Iaitu satu kelompok umat yang dibaratkan (mereka hidup makmur, safe zone, tidak hirau akan nasib muslim yang lain, mementingkan diri sendiri, bermewah-mewah, nama-nama mereka muslim tapi jati diri mereka adalah barat), dan satu kelompok lagi adalah umat yang disekat (mereka hidup sengsara, ditekan, diperkosa, disembelih, dijadikan tunggangan, diperlawak, dijadikan bahan fitnah).


Kemudiannya, umat Islam tiada pilihan, hanya ada dua. Iaitu jika menentang akan menerima akibat berupa sekatan, jika menurut mereka perlu menerima pembaratan melalui liberal orientation. Dalam konteks pendidikan, umat Islam yang membuka peluang pendidikan, menerima sistem pendidikan barat, iaitu ‘pendidikan dengan nilai ekonomi’ atau ‘pendidikan untuk kerjaya’. Maka nasib pendidikan Islam, ia hanya menjadi second class education kerana setelah sistem pendidikan Islam dibelah menjadi dua, iaitu ukhrawi untuk pendidikan Islam, duniawi untuk pendidikan am, maka pendidikan ukhrawi yang tiada nilai ekonomi menjadi subjek ELEKTIF.


Hasilnya ada DUA, iaitu PERTAMA pendidikan Islam menjadi terpinggir, kemudian dihidupkan atas dasar dualisme (iaitu keadaan pendidikan Islam yang menjadi sistem pengiring kepada pendidikan Am sebagai sistem perdana). Orientasi pendidikan Am pula sentiasa berinisiatif untuk melakukan deislamization process dalam operasionalnya. Sama ada pada kurikulumnya, guru-gurunya, murid-muridnya dan seluruh prasarananya.


KEDUA, seluruh kerangka sistem pendidikan dan budaya umat Islam berada di bawah kerangka sekular. Menghasilkan pandangan mengelirukan terhadap agama, iaitu agama adalah ritual bukan sistem. Malahan keadaan paling memalukan apabila para agamawan sendiri bertugas menghalakan pandangan ini kepada seolah-olah realiti. Apabila terdapat ramai agamawan yang taksub ukhrawi dan menentang duniawi. Mereka mendidik manusia supaya anti-pembangunan, anti-kemajuan, anti-sosial, anti-sains (pro-perubatan secara ghaiybiyyat) dan sebagainya.



Hakikatnya

  1. Islam itu berpadu antara ukhrawi dan duniawi. Promoter barat menghalakan agenda mereka agar menolak nilai keakhiratan, agamawan jahil menghalakan agenda mereka menolak nilai keduniaan. Ini adalah jenayah barat yang merupakan serampang DUA mata (promoter dan agamawan). Maka, pemulihannya hanyalah dengan ‘mencantum’kan semula kedua-dua aspek ini menjadi satu iaitu ( Dunia + Akhirat = Islam ).
  2. Para promoter local dan agamawan yang jahil adalah terang-terangan JAHIL terhadap TASAWWUR Islam secara tepat.
  3. Pendidikan Islam bukan semata-mata subjek agama. Bahkan semua subjek itulah Pendidikan Islam.
  4. Agama Islam adalah SISTEM LENGKAP. Sistem Barat pula adalah SISTEM TEMPANG/CACAT dan BIAS. Lakukan perbandingan antara keduanya, kita akan menemui KEBENARAN KENYATAAN INI.

Kesimpulan


Secara peribadi, penulis sering bertembung dengan kedua golongan ini (promoter barat dan agamawan jahil). Jumlah mereka semakin hari semakin ramai. Pengulasan tentang keduanya akan penulis cuba lakukan diperbincangan yang akan datang.


Deislamisai Islam dari ummah adalah agenda barat, perlaksanaannya sangat halus, sehingga kita tidak merasainya. Ia dijalankan secara berfasa. Ia dirancang secara sistematik dan saintifik. Rancangannya adalah dalam jangkamasa yang panjang.


Bermula daripada mengkaji ‘siapakah umat Islam?’ (kajian terhadap latarbelakang umat, terhadap Sistem Islam, kelemahan-kelemahan ummat dan kelebihan Islam, persamaan dan perbezaan-perbezaan antara sectarians serta kecenderungan mereka dan berbagai kajian lain tentang Agama Islam dan ummatnya). Kemudian merancang pendekatan, kaedah, strategi dan teknik yang akan diaplikasi untuk mencapai agenda pembaratan dan menguasai dunia (termasuk salah satu sub-agendanya ialah : melakukan deislamisasi ummat dari agama), barulah kepada perlaksanaan plans dan post mortem, akhirnya merancang how to sustain agenda ini hingga ‘selama-lamanya’ dan memastikannya tidak dirasai negatif malah dianggap positif oleh ‘subjek’ iaitu ummat Islam.


Muhasabah Diri


Ana membincangkan hal ini adalah untuk kesedaran kita bersama, bukanlah bertujuan untuk memprovokasi sesama ummat tetapi untuk a better future bagi semua manusia. Islam adalah rahmat seluruh alam. Kita tidak akan tahu kebenaran hakikat ini jika kita tidak mencuba menghidupkan sistem Islam secara menyeluruh bukan sebahagian-sebahagian.

Tiada ulasan: