Selasa, 22 Disember 2009

Kecemerlangan Menurut Islam


Perkataan ‘kecemerlangan’, adalah perkataan yang mudah-mudahnya kita sebut setiap hari. Tambahan lagi dengan semangat optimistik yang ditiupkan ke dalam halwa ruhaniyyah kita oleh pakar-pakar motivasi, hari-hari kita jalani dengan penuh semangat dan ‘tenaga’ positif. Namun kecemerlangan yang diperolehi, kelihatannya kurang menyeluruh. Dalam konteks pendidikan Islam juga, kita melihat tahap kecemerlangan yang kita perolehi hanya dapat diterjemahkan melalui carta ‘keputusan’ peperiksaan. Hakikatnya, pencapaian di tahap peperiksaan bukanlah sasaran Islam.

Islam mensasarkan kepada bentuk tarbiyyah yang jauh visinya. Merentasi kesemua visi yang ada di dunia ini. Secara individual, pendidikan Islam bukan untuk mencapai peringkat akademik kesarjanaan atau kedoktoran sebagaimana visi pendidikan bangsa manusia lain. Secara sosial pula, pendidikan Islam diajarkan bukan untuk mencapai visi-visi diperingkat nasionalis. Kerana Islam adalah ‘Rahmatan Lil’Alamin’. Visinya ialah akhirat, dihadapan mahkamah Allah. Di sana nantilah kita akan didedahkan dengan keputusan-keputusan tahap ‘kecemerlangan’ yang kita capai. Kerana Allah adalah hakim penentu ‘kecemerlangan’.

Pemecahan wilayah, adalah agenda nasionalisme yang ditiupkan oleh Barat selepas zaman kolonial. Orientasinya bersifat racist yang berselindung disebalik tirai demokratik. Kesarjanaan dan kedoktoran hanyalah mengeksklusifkan potensi individu ke dalam satu jurusan yang penuh dengan sifat obsessi. Sedangkan tarbiyyah Islam, menolak semua itu, sasarannya bertitik pada ‘satu’ titik tunggal iaitu kerana Allah.

Walaupun generasi ‘Ulama terdahulu, kelihatan begitu menonjol dalam satu disiplin ilmu, namun hakikatnya mereka telah mensarjanai dan mendoktori kesemua disiplin ilmu di dalam kelompok fardhu ‘Ain dan satu atau dua ilmu di dalam kelompok fardhu Kifayah. Malah, syarat terbesar kepada kesarjanaan dan kedoktoran mereka mengalir di dalam darah dan daging mereka. Jika Bukhari Rahimahullah adalah Muhaddith pada ilmu, maka Muhaddithlah juga Bukhari pada peribadi. Jika Syafie Rahimahullah Faqih pada ilmu syari’ahnya, maka syari’ah jugalah Syafie pada peribadinya. Itu baru mereka yang berada pada kelompok Taabi’ut-Tabi’en. Apatah lagi bagi generasi sahabat. Tanpa kajian ‘emperik’ , tanpa fakta ‘rasional’, tanpa menunggu ‘relevan’nya dengan manfaat kemanusiaan, Abu Bakar as-Siddiq Radhiallahu’anhu mengimani Islam atas dasar iman yang sebenar.

Inilah perbezaan paling besar antara pendidikan Barat dengan Tarbiyyah Islam, iaitu visinya. Hal ini kemudiannya turut mempengaruhi pengendalian dan perisian antara kedua-dua sistem pendidikan ini. Apa yang ana maksudkan dengan pengendalian ialah, pendekatan, strategi, kaedah dan teknik melaksanakan sesebuah program pendidikan itu. Dan perisian pula ialah ‘kandungan’ senarai disiplin-disiplin ilmu yang ditawarkannya.

Secara ringkasnya, dapatlah kita fahami bahawa pengendalian tarbiyyah Islam, perlu tunduk dan patuh kepada ‘cara’ Islam, dan perisiannya meliputi aspek-aspek kesyumulan (dunia dan akhirat). Sedangkan pengendalian pendidikan Barat, beroperasi adalah atas dasar dapatan-dapatan kajian dan teori-teori manusia, serta berisikan disiplin ilmu yang mempunyai ‘hasil’ manusiawi.

Namun, apa yang menyedihkan kini sistem Tarbiyyah Islam mengalami banyak perubahan struktur dan kerangkanya. Jika antum bertanya kepada ana apakah faktor penyebab berlakunya keadaan ini??? Asumsi ana, melihat ratusan malah ribuan ‘faktor’ yang saling bersilih ganti menghambat kemurnian tarbiyyah Islam itu, sejajar dengan serangan dari dalam dan luar oleh musuh-musuh Allah terhadap agama Islam itu sendiri. Di sini, apa yang ingin ana bincangkan bukanlah faktornya, tetapi ana ingin memfokus kepada bentuk-bentuk perubahannya.

Perubahan paling besar yang berlaku di dalam kerangka Islam dan sistem Tarbiyyahnya ialah, ‘pembelahan’ satu sistem yang padu kepada dua sistem yang berpisah. Iaitu berasal daripada satu sistem yang memadukan ukhrawi/duniawi oriented kepada sistem yang memisahkan ukhrawi oriented dan duniawi oriented menjadi dua sistem berpisah. Inilah jenayah terbesar manusia terhadap agama Allah. Dan apa yang amat menyedihkan ialah, kita-kita yang mengakui diri sebagai Muslim turut menyumbang idea, tenaga, suara, penulisan secara terangan-terangan dan secara terselindung dalam melakukan pembelahan ini.

Hasilnya, bertarunglah antara dua kelompok ini tanpa mengetahui keburukan yang telah mereka hasilkan terhadap agama Islam. Sedangkan hakikat, Islam itu terjalin pada firman Allah Ta’ala :

}وابتغ فيما آتاك الله الدار الآخرة ولا تنس نصيبك من الدنيا وأحسن كما أحسن الله إليك ولا تبغ الفساد في الأرض إن الله لا يحب المفسدين{ .

Kesimpulannya, tarbiyyah Islam mensasarkan Allah sebagai visi ‘kecemerlangan’nya, syariah dan akhlaq Islamiyyah adalah pendekatannya serta llmu Dunia/Akhirat Oriented adalah disiplin kandungannya. Inilah sebenarnya pendidikan Islam. Tarbiyyah Islam hanya akan dapat diitiraf sebagai 'cemerlang' jika, ia berjaya melahirkan lepasan-lepasan Muslim yang menepati kriteria Muslim menurut kehendak Allah.

Tiada ulasan: