Jumaat, 22 Januari 2010

PENGAJARN-PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM : PENDEKATAN, STRATEGI, KAEDAH DAN TEKNIK


Mengajar atau ilmu mengajar, bukanlah suatu ilmu yang mudah untuk dikuasai. Ilmu mengajar biasanya wujud dalam diri seseorang guru itu berpunca daripada dua sumber. Iaitu sama ada bersumber dari dalam diri seorang guru berupa seni halus yang sememangnya telah mengalir di dalam dirinya atau pun sains baharu yang dipelajari dan dikuasainya melalui proses belajar dan praktik dalam bidang perguruan.


Kenyataan ini dapat kita yakini melalui bukti-bukti sejarah, di mana kelahiran ramai tokoh-tokoh pendidik dari berbagai bangsa yang tidak pernah walau sehari pun mengikuti sebarang program perguruan tertentu untuk menjadikan mereka guru kepada manusia. Begitu juga halnya dalam dunia pendidikan Islam, para guru yang menjadi tali penerus kelangsungan ilmu-ilmu Islam di serata tempat bukanlah mereka-mereka yang mempunyai sebarang sijil perguruan, diploma, Post-Graduate Certificate/Diploma of Education dan sebagainya. Namun hasil pengajaran yang mereka berikan cukup berkesan kepada anak-anak didik mereka. Inilah yang saya yakini sebagai seni perguruan, sedangkan mempelajari ilmu perguruan secara formal pula adalah sains perguruan.


Dengan seni atau sains perguruan inilah seorang guru wajar memiliki kebolehan mengajar yang cukup berkesan. Memiliki ‘kebolehan mengajar’ tidak sama dengan memiliki ‘ilmu mengajar’. Kerana terdapat guru-guru yang memiliki ‘ilmu mengajar’ namun masih tidak berupaya mengaplikasikan ‘ilmu mengajar’nya itu untuk menjadi ‘kebolehan mengajar’. Hal ini dapat ditinjau melalui ‘keberkesanan’ pengajaran guru dalam mencapai matlamat pendidikan. Matlamat pendidikan yang saya maksudkan di sini bukan sekadar pencapaian objektif khas (jangka pendek) di bilik darjah sahaja tetapi matlamat jangka panjang. Rasionalnya, tidak semua murid yang hafal rukun-rukun sembahyang dan lulus ujian ‘praktikal’ mengerjakan sembahyang itu berkesudahan menjadi seorang yang istiqamah menjaga solatnya.


Dalam perbincangan ini, fokusnya bukanlah kepada persoalan ketercapaian matlamat pendidikan Islam, tetapi tentang kebolehan guru mengaplikasikan ilmu mengajarnya secara berkesan. Secara lebih spesifik, perbincangan akan disasarkan kepada kebolehan guru menggunakan Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik dalam pengajarannya.


Sama ada seseorang yang baru menjejakkan kakinya dalam arena pengajaran mahupun barisan guru-guru yang berpengalaman, persoalan ‘Konsep Pendekatan, Strategi, Kaedah (Metod) dan Teknik pengajaran masih sukar dibeza-bezakan. Malahan masih terdapat guru yang menganggap bahawa semua istilah tersebut adalah sama, iaitu tentang ‘cara’ pengajaran sahaja. Hal ini adalah suatu perkara yang perlu diberi perhatian oleh para guru kerana konsep-konsep tersebut adalah asas untuk membentuk atau merancang sebuah program pelajaran harian (pengajran/pembelajaran) yang sempurna oleh seseorang guru. Kejelasan terhadap ‘hubungan’ di antara keempat-empat konsep tersebut adalah amat berguna bagi guru-guru pelatih termasuk guru-guru berpengalaman supaya ilmu pedagogi (sains mengajar) yang dipelajari dapat diaplikasikan dalam bilik darjah secara berkesan.




Konsep


Pendekatan


Pendekatan ialah ‘tanggapan’ yang menjadi prisnsip (pegangan) keseluruhan sesebuah siri pengajaran-pembelajaran. Pendekatan juga boleh disebut sebagai klasifikasi pengajaran, iaitu ibarat genre pengajaran guru secara menyeluruh. Jika seorang guru menggunakan pendekatan pengajaran secara ‘pusatan murid’ maka sudah pasti keseluruhan pengajarannya (kaedah, strategi dan tekniknya) akan menghala atau memainkan rentak ‘pengajaran-pembelajaran berpusatkan murid’. Pendekatan juga merupakan orientasi yang diambil dalam sesebuah siri pengajaran. Pendekatan Tradisional, Pendekatan Kontemporari, Pendekatan Pusatan Guru, Pendekatan Pusatan Pelajar, Pendekatan Deduktif, Pendekatan Induktif dan sebagainya.


Kaedah


Kaedah pula adalah prosuder perlaksanaan pengajaran yang beroperasi berasaskan (mengikut) prinsip-prinsip dalam pendekatan. Di dalam sesebuah pendekatan, akan menyenaraikan beberapa kaedah-kaedah sebagai stepping stonesnya. Sebagai contoh, pendekatan Pengajaran Pusatan Murid akan menyenaraikan beberapa kaedah-kaedah berorientasikan pusatan murid seperti Kaedah Penyelesaian Masalah, Kaedah Pembelajaran Berkumpulan dan Kaedah Projek dan sebagainya. Ini bererti bagi pendekatan Pengajaran-Pembelajaran Pusatan Murid, maka kaedah-kaedah yang berorientasikan kepada pusatan guru seperti Kaedah Ceramah, Kaedah Penerangan dan sebagainya kurang mengambil tempat.


Ini bererti kaedah-kaedah yang digunakan dalam sesebuah pendekatan adalah gabungan beberapa kaedah sekelompok atau yang sama klasifikasinya berdasarkan kepada pendekatan tersebut.


Strategi


Strategi pula adalah, ‘kebijakan’ guru merancang, mengenalpasti, mengendali, mengawal, mengambil keputusan, memilih, mengganti sebarang pendekatan dan kaedah yang tertentu dalam pengajaran-pembelajaran. Sebagai contoh, seorang guru yang berstrategi ialah guru yang tahu ‘kesesuaian’ antara peruntukan masa satu sessi pengajaran, isi pelajaran yang akan disampaikan, latarbelakang pelajarnya dengan pendekatan dan kaedah yang akan digunakannya (yang dipilihnya).


Kejayaan strategi seseorang guru itu terletak kepada kebijakannya bermula daripada proes merancang kepada proses melaksana pengajaran, hinggalah juga kepada kebijakannya mengganti/menukar kaedah, pendekatan, tekniknya secara tiba-tiba jika ada keperluan, atau dalam ertikata (ada Plan B).


Teknik


Teknik pula ialah keupayaan atau gaya seseorang guru dalam mengendalikan kaedahnya. Teknik adalah gabungan kebolehan-kebolehan tertentu dalam melaksanakan kaedah. Sebagai contoh, seorang guru yang menggunakan Kaedah Ceramah akan memasukkan beberapa teknik di dalam kaedahnya, seperti teknik berjenaka, teknik antonasi suara, teknik ekspresi muka dan sebagainya. Atau dalam kaedah Soal Jawab, guru akan menggunakan beberapa teknik seperti teknik penyoalan mengelirukan, teknik soalan objektif, teknik soalan oral, teknik penyoalan written dan sebagainya.


Ini bererti teknik adalah satu kemahiran yang ada pada diri seseorang guru dalam mengendalikan kaedah pengajarannya. Perlu diingat, kaedah pengajaran seseorang guru dengan seseorang guru yang lain, boleh sahaja sama, tetapi teknik perlaksanaannya pasti mempunyai perbezaan berdasarkan kepada perbezaan kelebihan dan kekurangan yang ada pada masing-masing guru.




Kefahaman


Sebagai kefahaman kepada konsep di atas, saya cuba terangkan melalui aplikasinya kepada contoh. Saya ambil contoh memasak dengan mengajar. Bahan utama masakan adalah udang, dan bahan utama pengajaran ialah Rukun Wudhu’.


Pendekatan masakan ialah ala-ala Thai iaitu Tom Yam. Pendekatan pengajaran ialah Pusatan Murid. Seorang tukang masak yang berstrategi adalah seorang yang tahu menyediakan bahan-bahan masakan Tom Yam terlebih dahulu (seperti pes tumisan, daun limau purut, perahan limau dan sebagainya). Manakala guru berstrategi juga tahu menyenaraikan keperluan pendekatan Pusatan Murid dalam perancangannya seperti penyediaan kaedah-kaedah yang akan di ambil (kaedah Study Case atau Kajian Kes dan kaedah Berkumpulan), penyediaan bahan-bahan pengajaran-pemblajaran (alatan seperti buku teks, buku rujukan, televisyen, pemain video dan sebagainya).


Berlangsung sahaja proses memasak, tukang masak tadi menggunakan dua kaedah gabungan iaitu kaedah Menggoreng dan kaedah Merebus. Begitu juga guru, selepas memberi penerangan guru akan mengaplikasikan kaedah Berkumpulan dan menyediakan satu Kajian Kes berupa tayangan video (visual) orang berwudhu. Dalam melaksanakan proses menggoreng tadi, tukang masak akan mempunyai teknik menggorengnya yang tersendiri, seperti teknik pengawalan kepanasan, teknik mengekalkan kelembapan udang dan sebagainya. Begitu juga guru, akan memberikan beberapa hint (petunjuk) ringkas sepanjang study case berlangsung sebagai tekniknya. Kemudian, setelah itu beralih kepada kaedah kedua iaitu Merebus, setelah udang digoreng separuh masak, udang tadi akan direbus di dalam kuah Tom Yam sehingga ia masak sepenuhnya dengan teknik melebihkan rasa pedas atau mengurangkannya dengan menambah gula dan sebagainya. Dan bagi guru pula, setelah selesai masa Kajian Kes, guru tadi akan beralih kepada gerak pembelajaran berkumpulan (Kaedah Berkumpulan) dengan memberikan ruang perbincangan agar murid-murid dapat menyimpulkan dan mencatatkan beberapa ‘perbuatan’ yang dilakukan oleh visual sepanjang tayang video berwudhu tadi. Teknik seperti mengelompokkan pelbagai tahap pelajar (pandai, kurang dan tidak) di dalam satu kumpulan adalah teknik yang dapat diaplikasikan dalam kaedah berkumpulan.


Akhirnya, masa untuk penilaian, maka tukang masak tadi akan merasa masakannya untuk memastikan ianya menepati citarasanya, jika ianya kurang menepati maka sedikit perubahan akan dilakukan. Begitu juga bagi sang guru tadi, dia akan menyuruh seorang wakil murid bagi setiap kumpulan untuk membacakan hasil perbincangan dan penyimpulan visual yang mereka kaji itu. Markah akan diberikan mengikut ketepatan hasil perbincangan mereka, dan pembetulan akan dilakukan oleh guru kemudiannya.


Inilah antara contoh aplikasi keempat-empat konsep di atas (Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik) yang mana kesemuanya adalah saling berkaitan tetapi berlainan. Seorang guru perlu menguasai keempat-empat komponen pengajaran ini. Tidak setakat menguasai satu darinya sahaja untuk mencapai sebuah siri pengajaran berkesan (bermakna).


Wallahua’lam.

2 ulasan:

Kak Mahh berkata...

Perkongsian yang bijak.

Permai Hati berkata...

Salam.minta izin copy ye,utk asgmnt saya...