Rabu, 9 September 2009

Muzakarah Memperkuat Kerohanian Dan Aspirasi Guru Ugama



بِسمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم

Hari ini, seluruh warga Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan mendapat satu lagi peluang bernilai setelah menghadiri Muzakarah Memperkuat Kerohanian Dan Aspirasi Guru Ugama. Ana sendiri menerima banyak pelajaran yang bermanfaat dengan penyampaian 3 buah kertaskerja oleh 3 orang ahli ilmuan dalaman Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan sendiri. Mereka terdiri daripada, Ra’satul-Jami’ah Ustazah Dr. Hjh Masnon binte Hj Ibrahim, Prof.Madya Dr. Arifin Omar dan Dekan Fakulti Usuluddin Ustazah Hjh Zaleha binte Hj Ibrahim.


Ana tidak akan memberikan paparan menyeluruh kertaskerja yang telah disampaikan atau pun memberikan ikhtisarnya dan tidak juga untuk memberikan sebarang komen terhadap semua kertaskerja hari ini, cuma ana ingin mengongsikan sedikit pandangan ana secara umum terhadap maudu' ini, sebagai aspirasi ana untuk melihat sesebuah institusi tinggi pengajian ilmu-ilmu Islam itu berupaya melahirkan barisan lepasannya yang dapat diiktiraf sebagai al-‘Ulama warathatul-‘Anbiyya.


Ana tertarik dengan muqaddimah yang telah disampaikan dengan Raesatul-Jami’ah dengan menyatakan bahawa tujuan muzakarah hari ini bukan sekadar perjumpaan ilmiah atas dasar ‘perjumpaan’ semata-mata, tetapi sebagai ‘peringatan’ kepada seluruh warga KUPU SB khususnya dan semua guru-guru ugama amnya. Firman Allah di dalam surah az-Zariyaat ayat 55 :

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَ تَنْفَعُ المْـُؤْمِنينَ

“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”


Petunjuk ayat di atas membawa kepada arahan kepada para Rasul ‘alaihimussalam agar memberikan peringatan kepada manusia. Maka dalam konteks ke’ulama’aan yang dianggap sebagai pewaris kepada para Anbiya’iwal-Mursaliin maka, salah satu tanggungjawab ‘ulama ialah menjadi pemberi peringatan. Peringatan yang bagaimana?


Peringatan yang dimaksudkan Allah Ta’ala terjawab dengan sambungan ayat 56 dari surah az-Zariyaat. Iaitu firman Allah :


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنْسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ


“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk menyembah (beribadat) kepada-Ku.”


Mengabdikan diri dalam ibadat kepada Allah Ta’ala adalah peringatan kepada manusia tentang sebab kenapa manusia dan jin itu diciptakan. Dan inilah tajuk utama yang sepatutnya dijadikan sasaran oleh setiap guru ugama dalam menyampaikan pengajarannya, iaitu memberi peringatan kepada manusia agar melaksanakan tanggungjawabnya dalam beribadat hanya kerana Allah. Sebab musabab manusia dan jin sicipta pula diterangkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Mujahid :


كنت كنزا مخفيا فأردت أن أُعْرَفَ فخلقت الخلق فبي عرفوني


Artinya:
“Aku laksana perbendaharaan yang tersembunyi, lalu Aku ingin supaya diketahui, maka kujadikanlah makhluk, maka dengan adanya (ciptaan-Ku) itulah mereka mengetahui-Ku.”


(lihat Tafsir AI Maraghi hal. 13, juz 27, jilid 9).


Ini bererti ibadat kepada Allah adalah jalan yang disediakan Allah untuk manusia dan jin sampai ke arah Ma’rifatullah. Sebab itulah dalam konteks pendidikan Islam, objektif-objektif kurikulum pendidikan Islam, perlu menjadikan matlamat ini sebagai objektif teratas pembentukan kurikulum pendidikan Islam. Pelajar-pelajar dididik agar mempunyai ilmu yang diamalkan dalam kualiti ikhlas kepada allah secara mutlak. Kerana ibadat yang ikhlas adalah sebagai bukti iman yang thabit. Kita tidak mahu melahirkan generasi Islam yang berilmu tinggi tetapi tidak istiqamah dalam mengamalkan ilmunya. Puncak tertinggi keimanan seseorang insan adalah dengan kepatuhannya dalam ibadat yang ikhlas atas dasar kefahaman dan penghayatannya dalam ilmunya.


Inilah tugas ‘Ulama yang menjadi pewaris Anbiyya’iwal-Mursaliin, iaitu memberi peringatan. Namun dalam pemberian peringatan atau pengajaran ilmu yang disampaikan oleh para ‘Ulama itu, dia sendiri perlulah mengamalkan dahulu ilmunya. ini tuntutan besar kepada para guru ugama. Sebanyak mana ilmu yang dia pelajari dan kuasai, sebanyak itulah juga ibadat yang dia amalkan. Tahu hukum sembahyang adalah fardhu, maka dialah yang melaksanakannya, tahu bahawa merokok itu haram, maka dialah yang menghindarinya. Ibadat-ibadat Nawafil tidak hanya berada sekitar lidah pengajaran para guru ugama, tetapi kecenderungan untuk melakukannya adalah meluap-luap. Jika tidak, maka dia sendiri akan menerima kemurkaan besar dari Allah Ta’ala. Firman Allah di dalam surah as-Saff ayat 3 :


كَبُرَ مَقْتاً عِنْدَاللهِ أن تَقوُلُوا مَا لاَ تَفْعَلُونَ


“Sangat besarlah kebencian di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.”


Pada ayat ini terdapat dua bentuk kelemahan manusia yang ditonjolkan oleh ayat ini, iaitu:


1. Perkataan mereka tidak sesuai dengan perbuatan mereka.

Termasuklah pengajaran ilmu kepada murid-murid. Kehendak ayat ini kelihatannya mudah untuk kita sebut-sebut, tetapi sukar melaksanakannya. Amatlah banyak manusia pandai berbicara, suka menganjurkan suatu perbuatan baik dan memperingatkan agar orang lain menjauhi larangan-larangan Allah, tetapi ia sendiri tidak melaksanakannya. Guru ugama mengajar agar ilmu tasawuf tetapi guru agama sendiri kurang mutu akhlaqnya. Cenderung kepada hubuddunia, su'uzzan, fitan dan sebagainya. begitu juga guru agama yang mengajarkan al-Qur'an tetapi Tilawah al-Qur'an menjadi medan menempa nama, riya' dan takabbur kepada orang lain termasuk kepada murid-muridnya. Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahwa Abdullah bin Rahawah berkata:


"Orang beriman di masa Rasulullah, sebelum jihad diwajibkan, berkata: “Seandainya kami mengetahui perbuatan-perbuatan yang disukai Allah tentu kami akan memperbuatnya. Maka Rasulullah menyampaikan bahwa perbuatan yang paling disukai Allah, ialah beriman kepada-Nya, berjihad menghapuskan kemaksiatan yang dapat merusak iman, mengakui kebenaran risalah yang disampaikan Nabi-Nya”, namun setelah datang perintah jihad, sebagian orang-orang yang beriman merasa berat melakukannya. Maka turunlah ayat ini sebagai celaan akan sikap mereka yang tidak baik itu.


2. Tidak menepati janji yang telah mereka buat.

Suka menepati janji yang telah dibuat merupakan salah satu ciri dari ciri-ciri orang-orang yang beriman. Jika ciri itu tidak dipunyai oleh seorang yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, bererti ia telah menjadi orang munafik termasuklah pemegang profession guru ugama.


Maka dalam hal ini, para guru ugama perlu memberi perhatian serius tentang kedudukan ilmunya dengan amalnya sendiri agar menjadi sebenar-benar ‘Ulama sejati yang mewarisi bukan sekadar ‘gelaran’ warathatul-Anbiya tetapi juga mewarisi peranan, penghayatan, keikhlasan, kepatuhan, ketaqwaan, wara', syuja' dan akhlaq para Anbiya’iwal-Mursaliin. Titik permulaan ialah tentang perlunya kita perhatikan niat kita terlebih dahulu sama ada kita benar-benar mahu menjadi ‘ulama yang sejati atau sekadar guru ugama untuk profession, gaji, pangkat, komersial, publisiti, pengaruh dan berbagai niat-niat yang mengarah kepada mengejar ganjaran dan balasan dunia.




Siapakah 'Ulama Sejati ?


Ciri-ciri 'Ulama sejati begitu banyak dan telah dibahaskan oleh kebanyakan 'Ulama silam tentangnya, tinjau sahaja ke dalam Ihya 'Ulumuddin dan sebagainya. Namun apa yang ingin disentuh di sini ialah ciri utama ‘Ulama sejati, begitu tepat telah pun digambarkan Allah di dalam firman-Nya di dalam surah Faathir ayat 28 :


إِنَّمَا يَخْشَى الله مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَؤُا


“…Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah adalah ulama…”


Terbukti bahawa ‘Ulama yang diiktiraf oleh Allah Ta’ala sebagai sebenar-benar ‘Ulama adalah mereka yang benar-benar bertaqwa kepada Allah dan sifar kepada makhluk. Atas dasar ketaqwaan yang benar maka seorang ‘Ulama itu sentiasa bersikap hati-hati dan sangat wara’ dalam menjalani hidupnya. Kerana dia ‘alim bahawa dirinya dalam muraqabatillah (perhatian Allah) secara mutlak dan setiap masa serta di mana jua.


‘Ulama beginilah sebenarnya pewaris Anbiya’iwal-Mursaliin. Bukanlah sekadar mempunyai ketinggian ilmu agama sahaja sudah wajar digelar 'ulama. Tetapi ‘syarat’ yang telah ditetapkan Allah begitu jelas, bahawa 'Ulama sejati adalah 'Ulama yang berada ditahap di mana ilmunya mampu meresapi keseluruh jiwa dan raganya hingga ilmu itu mampu mencorak amalan seorang ‘Ulama ke tahap taqwa dan ikhlas kepada Allah. Dan itu sahajalah syarat yang sah diiktiraf sebagai ‘Ulama olah Allah. Jika tiada terjadi sedemikian, berwaspadalah terhadap 'Ulama Suu'.


Ramalan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam terhadap Iktarabatis-Sa’ah turut menggambarkan keadaan ini. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam :


Daripada Ali bin Abi Thalib Radhiallahu’anhu, telah berkata : telah bersabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam :


“…Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali…”.

(HR al-Baihaqi)


Hadith di atas menunjukkan bahawa di akhir zaman, penghayatan Islam sudah tidak dititik beratkan dari sudut ikhlas dalam beramal, apa yang tinggal hanyalah Islam yang tiada nilai ikhlas dan hanya mengutamakan nilai ‘liputan’ sahaja. Islam dilihat sebagai isim (kata nama) yang mempunyai potensi eksploitasi untuk kepentingan material sahaja. Semua hal dan urusan ditempelkan nama Islam padanya agar ianya menjadi brand kepercayaan ummat. Ahli agamawan sibuk menaikkan prestasi mereka demi mencapai pengiktirafan manusia dan bukannya mengharapkan mardhatillah.


Al-Qur’an pula kurang dihayati walaupun lebih dibroadcastingkan, tanpa menghayati kehendak kandungan al-Qur’an itu sendiri, malahan al-Qur'an sudah tidak menjadi petunjuk dalam kehidupan, kecenderungan manusia lebih mengarah kepada teori-teori perolehan manusia. Masjid-masjid besar tersergam indah tetapi kurang jemaahnya dan fungsinya turut menerima tahdid (sekadar melepaskan tuntutan fardhu Kifayah sahaja), malah menjadi medan fitnah, medan merendah-rendahkan orang lain, medan menakut-nakutkan jema'ah yang kurang Islam secara zahiriyyahnya. Dan paling menyedihkan apabila para ‘Ulama menjadi punca fitnah kepada ummat iaitu jika agamawan mempunyai sifat pengecut dengan hanya berprinsipkan ‘menjaga periuk nasi sendiri’ dan lebih mementingkan penilaian manusia dan membelakangkan penilaian Allah dalam amal dan iktisabnya, tidak suka apabila ditegur kelemahan, kesilapan dan kesalahannya kerana dikhuatiri teguran itu akan menjatuhkan reputasinya, suka dan cenderung melakukan muhasabah kepada orang lain dan gemar melakukan tabayyun antara kehebatan dirinya dan kelemahan orang lain, tidak mempunyai masa untuk khidmat ijtima’iyyah yang tiada bayaran dan tiada liputan, menjatuhkan takfir, bid’ah, sesat, fujur, fasiq, munafiq secara sewenang-wenangnya kepada individu lain dan paling merbahaya apabila sesuatu persoalan agama ditimbang dengan pertimbangan akliah tanpa menyandarkannya dengan kehendak dan persyaratan naqliah.


Ini adalah sikap sambil lewa kita sebagai ahli agama dalam memahami data wahyu. Maka tiada jalan lain untuk mengandalkan jati diri guru ugama agar Faqih dalam agama kecuali dengan menuntut ilmu, lalu mengamalkannya bersungguh-sungguh dengan niat ikhlas kerana Allah. Sebab itulah budaya keilmuan yang tinggi perlu dibukakan kepada para guru ugama agar tiada tahdid dalam mencari dan mendapatkan ilmu yang sah serta tiada tahdid dalam menyampai dan mengajarkannya juga. Disebut oleh Imam Qurtubi dalam tafsirnya bahawa :


“ Telah menjadi ijmak (sepakat) ulama’ salaf (terdahulu dari zaman rasulullah, sahabat dan tabien) dan ulama’ dari kalangan kalaf (selepas zaman salaf) bahawa tiada cara dan jalan dalam mengetahui hukum-hukum Allah (berhubung suruhan dan larangan Allah) serta jalan beribadah kepada-Nya melainkan mesti melalui para rasul (jalan wahyu & menurut sunnah rasul). Maka jika ada sesiapa yang mengatakan wujud jalan lain dan terdapat jalan baru atau cara lain dari itu untuk mengetahui suruhan dan larangan Allah tanpa melalui rasul dan tanpa memerlukan para rasul (seperti dengan menurut rasa hati, ilham, mimpi-mimpi atau syeikh-syeikh tareqah) maka dia adalah kafir dan perlu dihukum bunuh…”

(lihat Jami’ Ahkam Qur’an oleh Imam Qurtubi m/s 40 Jilid 11).


Maka sewajarnyalah peluang menimba ilmu yang sah melalui institusi-institusi agama yang diiktiraf yakni bukan melalui guru-guru yang tidak diiktiraf (tidak terpelihara) dibuka seluas-luasnya tanpa tahdid dalam umur, tahdid pada tempat dan semata-mata menunggu kepada keperluan dan kehendak jabatan sahaja. Kerana setiap orang Islam berhak menerima ilmu kerana menuntut ilmu agama itu fardhu ‘ain. Apatah lagi bagi para guru ugama yang memerlukan kekuatan ilmu yang jitu. Tambahan lagi, dunia kini berada pada zaman kemelut ‘Akidah, kemerosotan Akhlaq dan kelemahan Istiqamah dalam ‘Ubudiyyah, sudah setentunyalah perkara ini perlu diberikan perhatian dan jangan sampai di akhirat nanti, kita di persoalkan Allah atas tindak tanduk kita menyempitkan ruang ke arah kecemerlangan ilmu-ilmu Islam kepada ummah.


Pesan baginda Rasulullah Salallahualaihiwasalam dalam riwayat Irbad ibn Sariyah Radhiallahu’anhu, iaitu baginda bersabda :


أوصيكم بتقوى الله والسمع والطاعة وان كان عبدا حبشيا فانه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي و سنة الخلفاء الراشدين المهديين فتمسكوا بها و عضوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فان كل محدثة بدعة و كل بدعة ضلالة


“ Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwalah kamu kepada Allah, dan dengar serta patuhlah kepada pemimpin walaupun dia diangkat dari hamba habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpeganglah kamu pada Sunnahku dan sunnah Khulafa Ar-Rasyidin yang diberi pertunjuk selepas aku . Peganglah ia (sunnah) sesungguh-sungguhnya sehingga kalau pun kamu terpaksa mengigitnya dengan gigi geraham kamu. Dan berhati-hatilah kamu dengan perkara baru . Sesungguhnya setiap perkara baru (dalam agama) ialah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat.”


(Hadith Sahih , riwayat Tirmidzi no.2676 , Abu Daud no. 4607 dan Ahmad no.12561).


Maka, bersyukurlah kita kerana dilahirkan dalam nikmat Islam dan Iman. Dan berganda-ganda lagilah kesyukuran seseorang yang ditakdirkan Allah untuk dimasukkanNya ke dalam kelompok ‘Ulama yang diiktirafNya sebagai pewaris Anbiya’iwal-Mursaliin. Kerana inilah nikmat tertinggi bagi manusia dantara manusia dalam susunan golongan-golongan manusia di sisi Allah.


Ringkasnya, kita ditakdirkan menjadi guru ugama yang mengajarkan ilmu agama. Maka jika kita ikhlas, jika kita berijtihad tinggi dan kita istiqamah dengan ilmu maka kitalah manusia yang beruntung kerana menjadi jema'ah pengikut para nabi dan rasul. Rasulullah Sallahu 'alaihi wasallam bersabda :


إن الله وملائكته وأهل السماوات وأهلَ الأرض حتى النَّملةَ في جُحْرِها والحِيتان في البحرِ لَيُصَلُّونَ على مُعَلِّمِ الناسِ الخَير


“ Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya dan penghuni segala langit dan bumi, sehingga semut yang berada dalam lubangnya dan ikan di lautan, semuanya mendoakan kebaikan bagi mereka yang mengajar manusia akan kebaikan"

1. Pahala yang besar bagi guru-guru agama terutamanya yang mengajar manusia dari tidak kepada tahu, mengajar manusia cara-cara peribadatan yang betul dan berbagai-bagai ilmu agama lain lagi, maka akan ramai pelajar yang asalnya tidak tahu membaca dan memahami sekaligus menghayati al-Quran akan menjadi insan yang benar-benar menguasai al-Quran dengan sebab diajar oleh para guru ugama.

2. Betapa besar dan hebatnya pahala yang diberikan ALLAH kepada guru-guru agama yang berkorban (berijtihad) semata-mata untuk menjadikan pelajar-pelajarnya berilmu dan beramal dengan ilmunya, kerana sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam :

من سن في الإسلام سنة حسنة فعمل بها كتب له مثل أجر من عمل بها و لا ينقص من أجورهم شئ و من سن في الإسلام سنة سيئة فعمل بها بعده كتب عليه مثل وزر من عمل بها و لا ينقص من أوزارهم شئ

رواه مسلم


"Barang siapa yang telah melakukan suatu perkara ( atau melorongkan satu jalan ) di dalam Islam , sebagai perkara ( atau jalan ) kebaikan lalu diamalkannya ( oleh orang yang ditunjukkinya ) , nescaya ditetapkan baginya pahala seperti mana pahala orang yang mengamalkannya ( kebaikan tersebut ) dan tidaklah mengurangkan pahala mereka sedikit pun dan barangsiapa yang telah melakukan suatu perkara ( atau melorongkan satu jalan ) di dalam Islam , sebagai perkara ( atau jalan ) kejahatan lalu kejahatan itu dilakukan oleh orang lain nescaya ditetapkan ke atasnya dosa seperti dosa orang yang melakukannya dan tidak sedikitpun mengurangkan dosa mereka ."

3. Begitu juga dengan guru-guru yang berjaya membetulkan niat para muridnya dalam mempelajari ilmu keduniaan dan memberi sentuhan Islam dalam setiap aspek lapangan kehidupan agar diniatkan semata-mata kerana Allah akan dapat membetulkan tasawwur pelajarnya dan seterusnya membetulkan tasawwur ummah.

4. Namun apapun jua yang tunjuk ajar dan pendidikan yang diberikan maka para guru ugama mestilah memberikannya dalam suasana ikhlas dan tidak mengharapkan balasan duniawi, inilah setinggi-tinggi sifat dan cara pemberian ilmu yang akan diberikan pahala yang besar oleh Allah. Serta dialah yang dahulu mengamalkan ilmunya secara ikhlas dan beristiqamah.

Wallahua’lam.

1 ulasan:

yanahacahalane berkata...

Borgata Hotel Casino & Spa in Atlantic City, NJ - JTM Hub
Borgata Hotel Casino & Spa (formerly 전주 출장안마 known as 남원 출장샵 The 파주 출장샵 Borgata in New Jersey) is a premier integrated 경상남도 출장안마 resort destination 경주 출장마사지 in the entertainment