Isnin, 7 September 2009

Jika Tiada Yang Endah


Umat Islam sejak sekian lama telah ditindih dengan berbagai ancaman dari berbagai medium. Sama ada dari medium yang bersifat konkrit hingga kepada medium-medium yang bersifat abstrak. Tujuannya hanya satu, iaitu memalingkan akidah Islam yang sah kepada sekurang-kurangnya mempunyai jiwa yang munafik.

Medium konkrit adalah serangan-serangan yang digunakan secara fizikal sebagai final touch untuk menghancurkan ummat Islam. Namun, sebelum serangan secara fizikal ini dilakukan, sistem keimanan ummah perlu dilumpuhkan melalui serangan-serangan abstrak sebagai modus operandi ke arah kejayaan cita-cita menghapuskan agama Islam dari muka bumi ini.

Pihak yang ana maksudkan di sini bukanlah tertumpu kepada mana-mana pihak atau kuasa besar dunia tertantu, tetapi secara umumnya ialah kepada siapa-siapa dan mana-mana pihak yang bersifat anti-Islam sama ada secara terang-terangan mahu pun berideologi sedemikian. Ini tidak pula tertumpu kepada siapa-siapa dan mana-mana pihak yang berada di luar dari lingkungan Islam sahaja, malah termasuk siapa-siapa pun dan mana-mana pihak pun yang dari dalaman ummat Islam sendiri.

Ini kerana, bahang ancaman terkesan dari kedua-dua arah ini. Dan usaha-usaha yang dilakukan bertujuan untuk menjadikan ummat Islam itu 'terlepas' dari naungan agama Islam, sama ada menjadi murtad atau mengalami kristianisasi atau berperibadi munafik (split personality) atau sekurang-kurangnya menjadi seorang ummat Islam yang lemah dari setiap aspek keislamannya.

Realitinya sekarang, sebanyak mana pun penulisan ilmiah yang dilakukan oleh cendikiawan Islam dalam usaha untuk menggemilangkan semula kedudukan Islam sebagai agama Rahmatan lil-'Alamiin, jika gagasan Islamisasi ini tidak diimplimentasikan secara menyeluruh ke dalam sistem kehidupan ummat, cadangan hanya tetap berstatus 'karya tatapan' sahaja. Apatah lagi jika Islam diletakkan secara berinstitusi dengan kuasa terhad dan terkawal, hanya akan menjadikannya berfungi pada separuh peranan dan lumpuh dalam separuh peranan lagi.

Gandingan dinamika 'Ulama dan Umara' sahajalah yang berpotensi untuk melaksanakan 'amanah' Allah ini. Itupun dengan bersyaratkan 'ikhlas' kerana Allah, ikhlas yang tiada dicemari dengan kehendak peribadi.

Kelemahan ummat, secara terang-terangan merindui sentuhan ijtihad para imam Mujtahid silam, ketajaman pemikiran mereka menyusun formula terpelihara dalam memahami isyarat-isyarat Allah seputar permasalahan hukum-hakam, masalah Akidah dan ijtihad mereka mempelopori berbagai disiplin ilmu berpandukan data wahyu.

Tidak jumud dalam lingkungan teorikal, malahan kekuatan ilmu mereka benar-benar menyerap keseluruh nadi kehidupan 'amaliyyah mereka. Sebab itulah, kita tersentuh membaca bukti-bukti sejarah yang menayangkan kekuatan iman para 'Ulama silam dalam memegang erat agama Islam, walaupun Nawawi diusir keluar, beliau lebih rela membelakangkan kehendak manusia dengan mengutamakan kehendak Allah.

Sekarang kita muhasabah diri. Bukankah kita dituntut oleh Allah agar berpegang dengan tali-tali Allah? Tapi sebaliknya, kita terikat, terantai, terkurung dengan berbagai komitmen duniawi. Terikat dengan nasionalime yang terkeluar dari kehendak syara', terikat dengan cinta kepada harta dan cinta kepada makhluk, dirantai dengan komitmen berkeluarga, terpukau dengan nikmat dan kemewahan dunia. Akhirnya jadilah kita ummat Islam yang megah dengan perayaan-perayaan Islam yang rutin dan taqwim sahaja. Semakin banyak inisiatif yang dilakukan, berbagai kegiatan keagamaan dijalankan, semakin jauh pula 'awwamiin kita daripada agama Islam. Kerana wabak, yang mengutamakan nilai mendapat 'liputan' adalah agenda yang penting berbanding objektifnya. Dan wabak ini turut merebak dikebanyakan institusi-institusi pengajian agama Islam sendiri.

Jelaslah, mengapa terdapat segelintir ummat Islam kini, berjaya dimurtadkan, dikritianisasikan, dimunafikkan, dan di lemahkan nilai-nilai keislaman mereka. Kerana Islam diamalkan hanya secara sebahagian-sebahagian sahaja. Ana menulis sahaja. Jika tiada yang endah, maka ana akan ikut pesan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, andai dunia dipenuhi dengan kemungkaran, maka menjauhlah dari mereka dan berlindunglah kepada Allah.

Wallahua'lam.




Tiada ulasan: