Jumaat, 22 Januari 2010

PENGAJARN-PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM : PENDEKATAN, STRATEGI, KAEDAH DAN TEKNIK


Mengajar atau ilmu mengajar, bukanlah suatu ilmu yang mudah untuk dikuasai. Ilmu mengajar biasanya wujud dalam diri seseorang guru itu berpunca daripada dua sumber. Iaitu sama ada bersumber dari dalam diri seorang guru berupa seni halus yang sememangnya telah mengalir di dalam dirinya atau pun sains baharu yang dipelajari dan dikuasainya melalui proses belajar dan praktik dalam bidang perguruan.


Kenyataan ini dapat kita yakini melalui bukti-bukti sejarah, di mana kelahiran ramai tokoh-tokoh pendidik dari berbagai bangsa yang tidak pernah walau sehari pun mengikuti sebarang program perguruan tertentu untuk menjadikan mereka guru kepada manusia. Begitu juga halnya dalam dunia pendidikan Islam, para guru yang menjadi tali penerus kelangsungan ilmu-ilmu Islam di serata tempat bukanlah mereka-mereka yang mempunyai sebarang sijil perguruan, diploma, Post-Graduate Certificate/Diploma of Education dan sebagainya. Namun hasil pengajaran yang mereka berikan cukup berkesan kepada anak-anak didik mereka. Inilah yang saya yakini sebagai seni perguruan, sedangkan mempelajari ilmu perguruan secara formal pula adalah sains perguruan.


Dengan seni atau sains perguruan inilah seorang guru wajar memiliki kebolehan mengajar yang cukup berkesan. Memiliki ‘kebolehan mengajar’ tidak sama dengan memiliki ‘ilmu mengajar’. Kerana terdapat guru-guru yang memiliki ‘ilmu mengajar’ namun masih tidak berupaya mengaplikasikan ‘ilmu mengajar’nya itu untuk menjadi ‘kebolehan mengajar’. Hal ini dapat ditinjau melalui ‘keberkesanan’ pengajaran guru dalam mencapai matlamat pendidikan. Matlamat pendidikan yang saya maksudkan di sini bukan sekadar pencapaian objektif khas (jangka pendek) di bilik darjah sahaja tetapi matlamat jangka panjang. Rasionalnya, tidak semua murid yang hafal rukun-rukun sembahyang dan lulus ujian ‘praktikal’ mengerjakan sembahyang itu berkesudahan menjadi seorang yang istiqamah menjaga solatnya.


Dalam perbincangan ini, fokusnya bukanlah kepada persoalan ketercapaian matlamat pendidikan Islam, tetapi tentang kebolehan guru mengaplikasikan ilmu mengajarnya secara berkesan. Secara lebih spesifik, perbincangan akan disasarkan kepada kebolehan guru menggunakan Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik dalam pengajarannya.


Sama ada seseorang yang baru menjejakkan kakinya dalam arena pengajaran mahupun barisan guru-guru yang berpengalaman, persoalan ‘Konsep Pendekatan, Strategi, Kaedah (Metod) dan Teknik pengajaran masih sukar dibeza-bezakan. Malahan masih terdapat guru yang menganggap bahawa semua istilah tersebut adalah sama, iaitu tentang ‘cara’ pengajaran sahaja. Hal ini adalah suatu perkara yang perlu diberi perhatian oleh para guru kerana konsep-konsep tersebut adalah asas untuk membentuk atau merancang sebuah program pelajaran harian (pengajran/pembelajaran) yang sempurna oleh seseorang guru. Kejelasan terhadap ‘hubungan’ di antara keempat-empat konsep tersebut adalah amat berguna bagi guru-guru pelatih termasuk guru-guru berpengalaman supaya ilmu pedagogi (sains mengajar) yang dipelajari dapat diaplikasikan dalam bilik darjah secara berkesan.




Konsep


Pendekatan


Pendekatan ialah ‘tanggapan’ yang menjadi prisnsip (pegangan) keseluruhan sesebuah siri pengajaran-pembelajaran. Pendekatan juga boleh disebut sebagai klasifikasi pengajaran, iaitu ibarat genre pengajaran guru secara menyeluruh. Jika seorang guru menggunakan pendekatan pengajaran secara ‘pusatan murid’ maka sudah pasti keseluruhan pengajarannya (kaedah, strategi dan tekniknya) akan menghala atau memainkan rentak ‘pengajaran-pembelajaran berpusatkan murid’. Pendekatan juga merupakan orientasi yang diambil dalam sesebuah siri pengajaran. Pendekatan Tradisional, Pendekatan Kontemporari, Pendekatan Pusatan Guru, Pendekatan Pusatan Pelajar, Pendekatan Deduktif, Pendekatan Induktif dan sebagainya.


Kaedah


Kaedah pula adalah prosuder perlaksanaan pengajaran yang beroperasi berasaskan (mengikut) prinsip-prinsip dalam pendekatan. Di dalam sesebuah pendekatan, akan menyenaraikan beberapa kaedah-kaedah sebagai stepping stonesnya. Sebagai contoh, pendekatan Pengajaran Pusatan Murid akan menyenaraikan beberapa kaedah-kaedah berorientasikan pusatan murid seperti Kaedah Penyelesaian Masalah, Kaedah Pembelajaran Berkumpulan dan Kaedah Projek dan sebagainya. Ini bererti bagi pendekatan Pengajaran-Pembelajaran Pusatan Murid, maka kaedah-kaedah yang berorientasikan kepada pusatan guru seperti Kaedah Ceramah, Kaedah Penerangan dan sebagainya kurang mengambil tempat.


Ini bererti kaedah-kaedah yang digunakan dalam sesebuah pendekatan adalah gabungan beberapa kaedah sekelompok atau yang sama klasifikasinya berdasarkan kepada pendekatan tersebut.


Strategi


Strategi pula adalah, ‘kebijakan’ guru merancang, mengenalpasti, mengendali, mengawal, mengambil keputusan, memilih, mengganti sebarang pendekatan dan kaedah yang tertentu dalam pengajaran-pembelajaran. Sebagai contoh, seorang guru yang berstrategi ialah guru yang tahu ‘kesesuaian’ antara peruntukan masa satu sessi pengajaran, isi pelajaran yang akan disampaikan, latarbelakang pelajarnya dengan pendekatan dan kaedah yang akan digunakannya (yang dipilihnya).


Kejayaan strategi seseorang guru itu terletak kepada kebijakannya bermula daripada proes merancang kepada proses melaksana pengajaran, hinggalah juga kepada kebijakannya mengganti/menukar kaedah, pendekatan, tekniknya secara tiba-tiba jika ada keperluan, atau dalam ertikata (ada Plan B).


Teknik


Teknik pula ialah keupayaan atau gaya seseorang guru dalam mengendalikan kaedahnya. Teknik adalah gabungan kebolehan-kebolehan tertentu dalam melaksanakan kaedah. Sebagai contoh, seorang guru yang menggunakan Kaedah Ceramah akan memasukkan beberapa teknik di dalam kaedahnya, seperti teknik berjenaka, teknik antonasi suara, teknik ekspresi muka dan sebagainya. Atau dalam kaedah Soal Jawab, guru akan menggunakan beberapa teknik seperti teknik penyoalan mengelirukan, teknik soalan objektif, teknik soalan oral, teknik penyoalan written dan sebagainya.


Ini bererti teknik adalah satu kemahiran yang ada pada diri seseorang guru dalam mengendalikan kaedah pengajarannya. Perlu diingat, kaedah pengajaran seseorang guru dengan seseorang guru yang lain, boleh sahaja sama, tetapi teknik perlaksanaannya pasti mempunyai perbezaan berdasarkan kepada perbezaan kelebihan dan kekurangan yang ada pada masing-masing guru.




Kefahaman


Sebagai kefahaman kepada konsep di atas, saya cuba terangkan melalui aplikasinya kepada contoh. Saya ambil contoh memasak dengan mengajar. Bahan utama masakan adalah udang, dan bahan utama pengajaran ialah Rukun Wudhu’.


Pendekatan masakan ialah ala-ala Thai iaitu Tom Yam. Pendekatan pengajaran ialah Pusatan Murid. Seorang tukang masak yang berstrategi adalah seorang yang tahu menyediakan bahan-bahan masakan Tom Yam terlebih dahulu (seperti pes tumisan, daun limau purut, perahan limau dan sebagainya). Manakala guru berstrategi juga tahu menyenaraikan keperluan pendekatan Pusatan Murid dalam perancangannya seperti penyediaan kaedah-kaedah yang akan di ambil (kaedah Study Case atau Kajian Kes dan kaedah Berkumpulan), penyediaan bahan-bahan pengajaran-pemblajaran (alatan seperti buku teks, buku rujukan, televisyen, pemain video dan sebagainya).


Berlangsung sahaja proses memasak, tukang masak tadi menggunakan dua kaedah gabungan iaitu kaedah Menggoreng dan kaedah Merebus. Begitu juga guru, selepas memberi penerangan guru akan mengaplikasikan kaedah Berkumpulan dan menyediakan satu Kajian Kes berupa tayangan video (visual) orang berwudhu. Dalam melaksanakan proses menggoreng tadi, tukang masak akan mempunyai teknik menggorengnya yang tersendiri, seperti teknik pengawalan kepanasan, teknik mengekalkan kelembapan udang dan sebagainya. Begitu juga guru, akan memberikan beberapa hint (petunjuk) ringkas sepanjang study case berlangsung sebagai tekniknya. Kemudian, setelah itu beralih kepada kaedah kedua iaitu Merebus, setelah udang digoreng separuh masak, udang tadi akan direbus di dalam kuah Tom Yam sehingga ia masak sepenuhnya dengan teknik melebihkan rasa pedas atau mengurangkannya dengan menambah gula dan sebagainya. Dan bagi guru pula, setelah selesai masa Kajian Kes, guru tadi akan beralih kepada gerak pembelajaran berkumpulan (Kaedah Berkumpulan) dengan memberikan ruang perbincangan agar murid-murid dapat menyimpulkan dan mencatatkan beberapa ‘perbuatan’ yang dilakukan oleh visual sepanjang tayang video berwudhu tadi. Teknik seperti mengelompokkan pelbagai tahap pelajar (pandai, kurang dan tidak) di dalam satu kumpulan adalah teknik yang dapat diaplikasikan dalam kaedah berkumpulan.


Akhirnya, masa untuk penilaian, maka tukang masak tadi akan merasa masakannya untuk memastikan ianya menepati citarasanya, jika ianya kurang menepati maka sedikit perubahan akan dilakukan. Begitu juga bagi sang guru tadi, dia akan menyuruh seorang wakil murid bagi setiap kumpulan untuk membacakan hasil perbincangan dan penyimpulan visual yang mereka kaji itu. Markah akan diberikan mengikut ketepatan hasil perbincangan mereka, dan pembetulan akan dilakukan oleh guru kemudiannya.


Inilah antara contoh aplikasi keempat-empat konsep di atas (Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik) yang mana kesemuanya adalah saling berkaitan tetapi berlainan. Seorang guru perlu menguasai keempat-empat komponen pengajaran ini. Tidak setakat menguasai satu darinya sahaja untuk mencapai sebuah siri pengajaran berkesan (bermakna).


Wallahua’lam.

Jumaat, 15 Januari 2010

Guru Ugama : Kerja Untuk Prestasi vs Kerja Untuk Allah


PROFESSION mengajar dan mendidik tidak dapat disamakan dengan profession lain. Di dalam Islam, profession guru di pandang begitu tinggi, dan lebih tinggi lagi bagi para pendidik dan pengajar yang dikelompokkan sebagai ‘ulama. Ada banyak sebab-sebab jika dibahaskan mengapa Islam memberi penghargaan dan penilaian yang sebegitu terhadap para guru. Namun, pengiktirafan Islam terhadap status ‘Ulama tidaklah semudah pemberian sijil perguruan yang diberikan oleh mana-mana institusi perguruan dan pendidikan. Syarat yang diberikan oleh Islam cukup sempurna bagi melahirkan andalan-andalan sebagai delegasi Tuhan yang dipanggil ‘ulama pewaris Anbiyya. Semua syarat ini terikat pada satu ikatan, iaitu dapat difahami melalui firman Allah :

إنما يخشى الله من عباده العلماء

Maksudnya :

“Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah dikalangan hambaNya adalah ‘Ulama”

(Fathir : 28 )

Allah Ta’ala mengklasifikasikan secara harfiah perkataan ‘ulama dengan konotasi : ‘yakhsya’ (takut) yang mutlak dan tidak berbelah bahagi hanya kepada Allah. Berkata Syeikhu-Islam, Ibnu Taimiyyah di dalam Majmu’ al-Fatawa 17/21 sebagaimana berikut :


قوله تعالى : ( إنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ) وَالْمَعْنَى أَنَّهُ لا يَخْشَاهُ إلا عَالِمٌ ; فَقَدْ أَخْبَرَ اللَّهُ أَنَّ كُلَّ مَنْ خَشِيَ اللَّهَ فَهُوَ عَالِمٌ كَمَا قَالَ فِي الآيَةِ الأُخْرَى : ( أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِداً وَقَائِماً يَحْذَرُ الآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ ) الزمر/9 " انتهى .


Khashya (takut) pada Allah adalah syarat utama bagi Islam mengiktiraf seseorang itu sebagai ‘alim yang dikelompokkan ke dalam kelompok ‘ulama. Takut di sini pula merujuk kepada ‘takut dalam perhubungan diri seseorang itu dengan Allah Ta’ala (حبل من الله)’. Dan dengan ‘takut’ inilah, seseorang akan melakukan segala suruhan Allah secara total dan meninggalkan larangan Allah juga secara total. Bukan setakat melakukan ma’ruf dan meniggalkan munkar secara sebahagian-sebahagian, sedang sebahagian lain tidak.


Bukanlah takut yang diterima oleh Islam itu, takut yang berbaur dengan takut kepada makhluk (manusia). ‘Ulama Islam tidak takut apa-apa melainkan Allah. Jika wajib bagi Allah, maka wajiblah baginya. Jika haram bagi Allah maka haramlah baginya. Walaupun, para pemerintah, para penguasa memerintahkan sebaliknya. ‘Ulama Islam sejati tidak akan gentar malah jauh sekali untuk bersedih andai ketegasannya menggenggam hukum-hukum Allah mengakibatkannya kehilangan seluruh isi dunia ini. Hal ini telah dibuktikan dengan cemerlangnya oleh para ‘Ulama sejati yang silam. Pemenjaraan Hambali dan yang lainnya, pengusiran Nawawi oleh pemerintah turut mencemerlangkan mereka bukan melemahkan mereka.


Namun, wujudkah ‘Ulama sebegini pada zaman ini? Jika ada, di manakah mereka? Apakah pula kedudukan para guru ugama, ahli-ahli istinbat, da’ie-da’ie dan agamawan-agamawan yang membarisi benteng agama di zaman ini, adakah mereka memiliki ‘yakhsya’ yang total? Kita serahkan jawapan bagi persoalan ini kepada iman masing-masing. Berbalik kepada tajuk.


Secara khusus, ahli-ahli yang berprofession guru ugama, perlu menterjemahkan rasa takut kepada Allah Ta’ala dalam setiap inci dari diri dan kehidupan mereka sebagai tanda ke’ulama’an mereka. Kerana dengan rasa takut inilah nanti akan membuahkan banyak perkara yang hebat dalam diri dan tugasannya :


· Amanah dalam pengajaran.


Kata kunci ‘amanah’ sangat tepat untuk membuktikan rasa takut sang guru kepada Allah. Amanah dalam memberi ilmu kepada anak didiknya, tidak sekadar mengulang-ulang kandungan buku teks sahaja. Kerana kelemahan perisian ilmu sang guru melambangkan sikap ‘pemalas’nya dalam memberi yang terbaik kepada anak didiknya. Amanah dalam pengajaran mencakupi segala hal yang berkaitan dengan pengajaran sang guru tadi seperti penyediaan siri-siri pengajaran bermakna setiap kali proses pengajaran berlangsung, penggunaan pendekatan-pendekatan terbaik dalam pengajaran, memberikan peluang anak didik mengembangkan ‘potensi’ belajar mereka, memaafkan kesalahan-kesalahan anak didik ketika belajar, kerana mereka pelajar, tidak terlalu emosional dalam mengajar, malah tinggi tahap kesabaran dan tahap ketabahannya dalam mengajar. Malah bersedia mengajar di mana dan bila-bila masa sahaja.


· Amanah dalam mendidik.


Mendidik mempunyai perbezaan tertentu dengan mengajar. Jika mengajar berfokus seputar ‘proses’ mengajar (memberi ilmu dan murid menerima), manakala mendidik pula berfokus kepada proses membentuk ‘diri’ anak-anak murid dengan ilmu yang telah diajar tadi. Tugas mendidik lebih berat dan lebih besar berbanding mengajar. Kerana tugas mendidik memerlukan saluran formal, in-formal dan non-formal sebagai mediumnya. Saluran yang dimaksudkan adalah ‘pembudayaan’ ilmu. Jika dalam pengajaran, sang guru mengajar ilmu, maka dalam pendidikan sang guru membudayakan ilmu itu pula. Namun, persoalaannya bagaimana pembudayaan ilmu akan berlaku ke atas sang murid andaikata gurunya sendiri tidak terlibat membudayakan ilmu-ilmunya? Sang guru yang lancang menekankan disiplin kepada sang murid adalah lebih wajar untuk berdisiplin (menepati masa, menyelesaikan tugas pada masa, mematuhi peraturan dan sebagainya). Sang guru yang lancang mengarahkan murid solat, lebih wajar solat. Apatah lagi solat jemaaah. Sang guru yang mengajar tasawwuf (akhlak) adalah wajib pula barakhlak. Dan adakah dikatakan sebagai berakhlak (bertasawwuf) jika sang guru tadi memiliki sifat mazmumah?? Sifat marah, sifat ‘ujub, sifat kasar, pengumpat, kaki fitnah, mementingkan diri, memenuhi tuntutan perut dan lain-lain. Sang guru perlu tawadhu’, semakin berilmu semain mulialah dirinya. Kata-katanya merendah tetapi berisi. Jika dia bersalah dengan ikhlas pula dia akan memohon maaf pada muridnya. Bukanlah letak kemuliaan sang guru kerana dia ‘tidak pernah bersalah’, malah kemuliaannya ialah kerana dia sedar dia bersalah dan dia ikhlas menuntut kemaafan walaupun daripada anak didiknya.


· Menjadi Qudwah Hassanah (teladan baik) bukan Qudwah Sayyi’ah (teladan buruk).


Meneladankan sikap baik kepada murid melalui pembaikan diri sang guru. Bukanlah sang guru berkelakukan baik kerana/atas sebab ingin menjadi teladan kepada murid (ini tidak ikhlas) apatah lagi kerana ingin terkenal dan masyhur di bibir-bibir murid. Tetapi keikhlasan sang guru dalam berkelakuan baik adalah untuk dirinya kerana Allah. Dan ini akan memantulkan ‘kewibawaan’ yang cukup berkuasa sebagai contoh dan teladan kepada murid. Guru yang ikhlas, mempunyai pengaruh yang hebat. Aura positif terpancar, menarik sang murid untuk meminati dan menjiwai perwatakan sang guru yang ikhlas. Sayydidina Abu Bakar mempercayai peristiwa Isra’ dan Mikraj Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tanpa setitik pun keraguan adalah kerana ‘wibawa’ Baginda. Dan bagaimana ini berlaku? Sehingga Abu Bakar sanggup mati kerana Baginda jika bukan kerana ‘pengaruh’ keikhlasan Baginda terhadap perjuangan Baginda. Andaikan, sang guru mempunyai ketokohan sebegini, pasti ramai anak-anak didik yang sedia berubah, berjuang, menjiwai pembelajaran mereka. Kegagalan perlaksanaan pendidikan Islam banyak dan menebal atas ‘sebab’ ini, iaitu masalah kurangnya ketokohan sang guru walaupun mereka berilmu (bersarjana).


· Amar Makruf dan Nahi Munkar.


Allah Ta’ala memuji umat Muhammad Sallallahu’alihiwasallam sebagai umat terbaik atas sebab Ta’muruna bil-Ma’ruf wa Tanhauna ‘anil-Munkar. Kehebatan umat Muhammad Sallallahu’alihiwasallam berbanding umat lain, kerana mereka ambil berat tentang dakwah. Jika, tidak wujud semangat dakwah dalam jiwa umat Islam maka mereka tidak terkelompok dalam golongan ‘terbaik’ menurut penilaian Allah. Sampaikan walau satu ayat adalah konsep Tabligh dalam Islam. Hakikatnya, penyampaian dakwah yang ‘lembab’ adalah kerana sasarannya tidak menyeluruh, hanya mensasarkan kepada kelompok yang ‘regular’ sahaja. Sedangkan kelompok yang berisiko tinggi tidak berani disentuh. Isu-isu dakwah pula terlalu ‘bias’. Jika begini, bagaimanakah kedudukan dakwah akan berkesan? Dalam konteks ke’ulama’an, kita melihat bagaimana panasnya hubungan ‘Ulama sejati silam dengan golongan Fasiq yang berisiko tinggi ini, sehingga berlaku penyerangan fizikal ‘Ulama, penyeksaan emosi, pengusiran wilayah, pemenjaraan, penyebatan, pemaksaan dan sebagainya. Namun ‘Ulama sejati tidak akan berganjak demi Amar Makruf dan Nahi Munkar. Para guru ugama yang sejati, tidak akan gentar menyatakan kebenaran walau dihadapan sesiapa pun. Ketua, Pentadbir, Guru Besar, Nazir, Pengetua dan lain-lain ‘Umara hanyalah orang biasa yang boleh teredah melakukan silap dan salah. Maka keikhlasan sang ‘Ulama sahaja boleh membetulkan mereka. Andai, mereka bersikap Abaa wastakbara (degil dan takabbur), maka tanggungjawab ‘Ulama di Mahkamah Allah sudah pun selesai, serahkan mereka ke pengadilan Allah. Inilah tabligh di dalam Islam, iaitu tidak mengira hierarki pangkat dan profession, serta tidak mengira stratafikasi sosial masyarakat. Apa yang benar bagi Allah, itulah benar baginya. Apa yang salah bagi Allah, itulah yang salah baginya.


· Hikmah dan Kebijaksanaan.


Satu lagi ciri penting bagi seorang guru yang takut kepada Allah adalah sifat bijak dan berhikmah. Di sebut Allah sebagai bil-hikmati wal-mau’izatil-Hassanah. Menyeru pada jalan Allah hendaklah menggunakan pendekatan Ahsan. Kalimah Ahsan dalam untaian ayat : Wa jadilhum bil-lati hia Ahsan (berdialoglah dengan mereka dengan cara terbaik), merupakan tanda bahawa pengunaan Pendekatan, Kaedah, Strategi dan Teknik terbaik menurut kehendak subjek (isi pengajaran) dan sasaran (latarbelakang murid atau orang yang didakwahi) adalah satu tuntutan Allah. Dalam konteks perguruan Ugama moden, kalimah Ahsan dirujukkan kepada seni dan sains perguruan. Seorang guru Ugama yang berbakat mempunyai seni mengajar tersendiri, namun seorang guru Ugama yang mempelajari ilmu mengajar pula mempunyai sainsnya. Andai, kedua-dua hal ini (seni dan sains) bercantum pada diri seseorang guru Ugama melalui ikatan minat yang mendalam, maka seni dan sains ini akan menghasilkan tenaga Ahsan yang hebat kepada sang guru dalam menjiwai peranan sebagai guru, da’ie, pakar isitnbat dan agamawan. Seni perguruan, merupakan bakat dan keupayaan individu guru dalam gaya tersendirinya yang menjadi signature dan secret recipe sang guru tadi. Dengannya dia mempunyai kekuatan tersendiri yang berbeza dari guru-guru ugama lain. Manakala sains perguruan pula adalah ilmu perguruan (pedagogi+psikologi+teknologi) guru yang diperolehinya melalui teori-teori yang telah dicubajayanya. Pemilihan teori terbaik menurut konteks pelajaran dan latarbelakang pelajar (sains) dengan gandingan bakat sang guru (seni) akan menghasilkan sesuatu profession guru Ugama yang terbaik (Ahsan) dalam mengajar, mendidik, mendakwah, bermu’amalah dengan masyarakat, menjadi Imam, Khatib dan lain-lain cabang agamawan.


Kesimpulannya, guru ugama sejati yang diiktiraf Allah sebagai ‘Ulama bukanlah suatu profession yang rendah (mungkin rendah di mata golongan fasiq). Malahan ketinggiannya, tidak memerlukan pengiktirafan manusiawi. Hanya Allah menjadi penilai mutlak profession ini. Penilaian prestasi pekerjaan, hanyalah syarat manusia yang tidak perlu dikhuatirkan oleh ‘Ulama sejati (tetapi menjadi kekhuatiran ‘Ulama plastik). Malahan, niat ikhlas bukan setakat di bibir sang guru sekalian, tetapi tebukti melalui tindakan dan perlaksanaannya. Niat ikhlas berlangsung 24 jam sehari untuk selama-lamanya, sedangkan niat untuk prestasi kerja berlangsung di hadapan ‘penilai’ manusia sahaja, di belakang mereka, biar Allah sahaja yang membalasnya.


Guru Ugama yang berintegriti adalah guru Ugama yang menggabungkan, niat (takut) kerana Allah, perlaksanaan pengajaran dan pendidikan sebagai amanah Allah, berani (Syuja’) kerana Allah, berilmu yang luas serta mengamalkan ilmunya, berbakat dan berkebolehan, berhikmah dan bijak, berakhlak mulia (sabar, tabah, mujahadah, dan sebagainya, serta berjaya menjadi Qudwah Hassanah yang berwibawa dan berketokohan serta bersedia 24 jam sehari dengan tugas dan tanggungjawabnya. Guru Ugama inilah, yang didahagakan oleh masyarakat Islam kini. Iaitu Guru Ugama Sejati sebagai 'Ulama pewaris Anbiyya.


Wallahua’lam.